Search

Anak mengamuk, ugut bunuh ibu ditahan polis

December 8, 2025

Info X Reporters

TAWAU: Seorang lelaki hilang pertimbangan apabila mengamuk di rumah sendiri selepas permintaannya untuk diberikan wang tidak dipenuhi ibunya dalam kejadian di Batu 2, Jalan Apas, di sini, semalam.

Lebih membimbangkan, suspek bukan sahaja menumbuk dinding rumah, malah mengugut mahu membunuh ibunya berusia 58 tahun, menyebabkan wanita itu ketakutan sebelum membuat laporan polis.

Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 7.30 malam ketika wanita itu berada di rumah sebelum didatangi anak kandungnya.

“Suspek berusia 23 tahun itu, bertindak agresif selepas permintaannya untuk diberikan wang tidak dituruti oleh ibunya.

“Ketegangan berlaku apabila suspek menumbuk dinding rumah dan mengeluarkan kata-kata ancaman dengan perkataan ‘bunuh’ sehingga membuatkan mangsa ketakutan dan tampil membuat laporan polis,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Jasmin, bertindak atas laporan itu, sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ), IPD Tawau mengesan suspek di kawasan perkampungan Batu 2 Jalan Apas, kira-kira jam 3 petang tadi.

“Ketika tangkapan dibuat, suspek cuba melarikan diri dengan terjun ke dalam parit berhampiran sebelum anggota polis terpaksa menggunakan kekerasan minima untuk menahannya.

“Suspek ditahan dan disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana melakukan ugutan jenayah,” katanya.

Sementara itu, Jasmin berkata polis tidak akan berkompromi dengan mana-mana ancaman jenayah, termasuk melibatkan ahli keluarga sendiri.

“Tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana individu yang menggugat keselamatan orang awam,” tegasnya.