KOTA KINABALU: Bapa mengusahakan tanaman, ibu pula suri rumah sepenuh masa, namun latar belakang keluarga yang serba sederhana bukan penghalang buat tiga beradik dari Kampung Naluyan, Tenom, untuk menggenggam Ijazah Doktor Falsafah (PhD) serentak.
Lebih manis, mereka sanggup bekerja sebagai tutor sambilan sepanjang pengajian demi menampung yuran dan perbelanjaan harian tanpa membebankan kedua-dua ibu bapa.
Pengorbanan Wong Vui Kiong, 32, bersama dua adik kembarnya, Wong Vui Ken dan Wong Vui Chuen, 30, akhirnya terbayar apabila masing-masing menerima PhD pada Majlis Konvokesyen Universiti Malaysia Sabah (UMS) Ke-28, hari ini.
Vui Kiong dan Vui Ken menamatkan pengajian dalam bidang Ekonomi Kewangan, manakala Vui Chuen dalam bidang Keusahawanan di Fakulti Perniagaan, Ekonomi dan Perakaunan (FPEP).
Vui Kiong yang juga anak keempat daripada enam beradik lelaki berkata, kejayaan menerima PhD serentak tidak pernah dirancang, apatah lagi mereka memulakan pengajian pada waktu berbeza.
“Kami sangat teruja dan gembira kerana dapat bergraduasi bersama-sama serta membanggakan ibu bapa.

“Perkara ini tidak dirancang, tetapi berlaku secara kebetulan walaupun waktu pendaftaran pengajian kami tidak sama,” katanya.
Menurutnya, dia mengambil masa tujuh tahun untuk menamatkan pengajian selepas beralih kepada mod separuh masa pada tahun ketiga, manakala dua adik kembarnya mengikuti pengajian sepenuh masa selama lima hingga enam tahun.
Sementara itu, Vui Ken berkata, menyedari kemampuan kewangan keluarga yang terbatas, mereka bertiga mengambil keputusan bekerja sebagai tutor sambilan di fakulti bagi menampung kos pengajian yang mencecah lebih RM10,000 seorang.
“Memandangkan keluarga kami daripada golongan B40 dengan bapa bekerja sebagai petani dan ibu pula suri rumah sepenuh masa, kami menyara diri sendiri supaya tidak membebankan mereka.
“Walaupun belum mencapai kebebasan kewangan sepenuhnya, sekurang-kurangnya kami mempunyai pendapatan sendiri dan kadangkala dapat menghulurkan bantuan kepada keluarga,” katanya.
Tidak melupakan asal usul sebagai anak petani, Vui Ken turut menyimpan impian untuk membawa pulang ilmu yang diperoleh bagi membantu masyarakat di kampung halamannya.
“Saya berhasrat merangka kursus kemahiran pengurusan dan perekodan tanaman secara konsisten bagi membantu para petani di Tenom menjana pendapatan yang lebih mampan,” katanya.
Kini, tiga beradik yang juga graduan PhD pertama dalam keluarga itu memasang impian untuk bergelar pensyarah dan sedang memohon jawatan berkenaan di UMS.
Mereka juga bersedia berkhidmat di mana-mana institusi pengajian tinggi awam atau swasta bagi meneruskan minat dalam bidang pendidikan. – Info X