KOTA KINABALU: Melatih lebih ramai anak Sabah sebagai doktor dilihat antara penyelesaian jangka panjang terbaik bagi menangani kekurangan pegawai perubatan di negeri itu, khususnya di kawasan pedalaman.
Presiden Kesatuan Perkhidmatan Perubatan Sabah (SMSU) Ajulahin Japin berkata anak tempatan secara umumnya lebih bersedia untuk berkhidmat di negeri sendiri, sama ada di kawasan pedalaman, pinggir bandar mahupun bandar.
Beliau yang juga Presiden Majlis Gabungan Presiden dan Setiausaha Agung Kesatuan Sekerja Kementerian Kesihatan Malaysia (MAPSU) berkata jumlah graduan perubatan dalam kalangan anak Sabah ketika ini bagaimanapun masih belum mencukupi untuk menampung kekosongan sedia ada.
“Kalau kita lihat Sabah dan Sarawak, anak tempatan sebenarnya lebih bersedia untuk bertugas di negeri sendiri berbanding petugas dari Semenanjung.
“Bagi sesetengah anak muda dari Semenanjung, apabila disebut Sabah dan Sarawak, mungkin masih wujud gambaran bahawa penempatan di sini melibatkan suasana kampung atau kawasan pedalaman. Persepsi dari segi keselesaan itu mungkin antara faktor yang menyebabkan mereka kurang berminat untuk datang bertugas di Sabah,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.
Ajulahin berkata kekurangan graduan perubatan anak tempatan menyebabkan Sabah masih perlu bergantung kepada pegawai perubatan dari Semenanjung untuk mengisi kekosongan di hospital dan klinik kesihatan di negeri itu.
Sehubungan itu, beliau berkata kerajaan perlu memberi perhatian kepada usaha memperbanyak pengambilan serta latihan anak Sabah dalam bidang perubatan sebagai langkah mengurangkan kebergantungan kepada tenaga dari luar negeri pada masa hadapan.
Beliau berkata satu tinjauan yang dijalankan MAPSU turut mendapati kecenderungan dalam kalangan sebahagian doktor dari Semenanjung untuk kurang berminat menerima penempatan di Sabah, terutama di kawasan pedalaman.
Beliau berkata antara faktor yang dikenal pasti ialah Bayaran Imbuhan Wilayah (BIW) serta elaun berkaitan penempatan di kawasan pedalaman yang kini dipegunkan.
Ajulahin berkata BIW sebelum ini dibayar pada kadar antara 17 hingga 25 peratus daripada gaji pokok, manakala elaun pedalaman pula sekitar 10 peratus daripada gaji pokok.
Beliau berkata isu insentif itu antara perkara yang sering dibangkitkan kesatuan dalam perbincangan mengenai usaha menarik dan mengekalkan pegawai perubatan untuk berkhidmat di Sabah.
“Jadi, itu yang kita sarankan kepada Kementerian Kesihatan (KKM) agar meneliti dan membuat kajian mengenai kekurangan pegawai perubatan di Sabah dan juga menilai semula insentif yang sesuai bagi menarik minat pegawai perubatan dari Semenanjung bertugas di negeri Sabah,” katanya.
Selain memperbanyak doktor anak tempatan dan mengkaji semula insentif, Ajulahin mencadangkan graduan perubatan dari Semenanjung diberikan pendedahan lebih awal kepada suasana bekerja di Sabah dengan menjalani latihan siswazah atau housemanship di hospital di negeri ini.
“Mungkin antara pendekatan yang boleh dipertimbangkan ialah memberi peluang kepada mereka menjalani housemanship dihospital di Sabah supaya mereka mendapat pendedahan awal mengenai suasana kerja dan kehidupan di negeri ini.
“Dengan pendedahan itu, mereka dapat mengenali Sabah dengan lebih dekat sebelum dilantik sebagai pegawai perubatan dan seterusnya mungkin lebih bersedia sekiranya ditempatkan untuk bertugas di negeri ini,” katanya.
MAPSU menghimpunkan 29 kesatuan sekerja di bawah KKM di seluruh negara.
Terdahulu, media melaporkan beberapa hospital di Sabah dan Sarawak berdepan kekurangan pegawai perubatan selepas didakwa tiada doktor baharu melapor diri bagi pengambilan jawatan tetap bulan ini.
Susulan itu, KKM dalam satu kenyataan telah memberi tempoh hingga 7 Okt kepada pegawai perubatan lantikan tetap Fasa 2/2026 yang masih belum melapor diri untuk hadir di fasiliti penempatan masing-masing.
Menurut kementerian, sebanyak 4,255 pegawai perubatan ditawarkan penempatan menerusi sistem ePlacement bagi lantikan Fasa 2/2026 yang berkuat kuasa mulai 28 Sept lepas.–BERNAMA