KOTA KINABALU: Seorang anggota bomba cedera ketika operasi memadam kebakaran sebuah rumah di Kampung Sembulan Baru, di sini, awal pagi tadi.
Dalam kejadian itu, Pegawai Bomba (PB) Azzuman Manis, 41, yang cedera di bahagian kaki diberikan rawatan awal sebelum dihantar ke Hospital Queen Elizabeth I (HQE I) untuk rawatan lanjut.
Ketua Balai Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Kinabalu, Ordine Gilu berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 4.18 pagi.
Katanya, jentera bomba tiba di lokasi pada jam 4.21 pagi, kira-kira satu kilometer dari balai, bagi memadam kebakaran yang membabitkan sebuah rumah jenis kekal.

“Operasi pemadaman dijalankan menggunakan dua aliran dengan empat pancutan air daripada jentera serta pili bomba berhampiran sebelum api berjaya dikawal pada jam 4.42 pagi.
“Kebakaran itu menyebabkan rumah terbakar sehingga dianggarkan 95 peratus. Seorang anggota bomba cedera dan dihantar ke HQEI untuk rawatan lanjut,” katanya.
Menurutnya, operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 7.14 pagi dengan kekuatan 35 anggota termasuk dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Kinabalu serta BBP Lintas, dibantu Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).
“Punca kebakaran masih dalam siasatan pasukan bomba,” katanya. – Info X