Search

Anggota penguat kuasa ditahan, terima rasuah RM2,000

February 2, 2024

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan seorang anggota penguat kuasa kerana disyaki meminta dan menerima rasuah kira-kira RM2,000 sebagai balasan melindungi kegiatan penjualan dadah dan mengelakkan daripada diambil tindakan undang-undang.

Sumber berkata, suspek lelaki yang berusia 40-an itu telah ditahan antara kira-kira jam 9 pagi tadi ketika diminta hadir memberi keterangan di pejabat SPRM Sabah.

“Anggota penguat kuasa terbabit ditahan kerana menerima wang rasuah yang dimasukkan ke dalam akaun bank milik seorang individu lain pada tahun 2021,” kata sumber terbabit, hari ini.

Sementara itu, Pengarah SPRM Sabah, Datuk S Karunanithy ketika dihubungi mengesahkan tangkapan berkenaan.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 17 (a) Akta SPRM 2009.

“Suspek dibebaskan dengan jaminan seorang penjamin sebanyak RM10,000 tanpa deposit dan akan dituduh pada 5 Februari 2024 di Mahkamah Khas Rasuah Kota Kinabalu,” katanya. – Info X