Search

Anggota polis maut ketika pulang ke IPD selepas tugas eskot tahanan

October 8, 2026

Info X Reporters

KINABATANGAN: Perjalanan pulang selepas selesai menunaikan tugas mengiring tahanan berakhir tragedi apabila seorang anggota polis maut selepas kenderaan pasukan dinaikinya terbabit kemalangan, petang tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 4 petang di Kampung Lot M, di sini, Konstabel Mathew Zulian Backly, 29, yang bertugas di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kinabatangan disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Kinabatangan.

Difahamkan, sebelum kejadian mangsa bersama dua lagi anggota dalam perjalanan pulang ke IPD Kinabatangan dari Penjara Sibuga, Sandakan selepas selesai menjalankan tugas mengiring tahanan.

Kenderaan pasukan dinaiki mereka dipercayai terbabas ketika cuba mengelak sebuah kenderaan yang datang dari arah hadapan.

Ketua Polis Daerah Kinabatangan, Superintendan Janeve Sindih ketika dihubungi mengesahkan kejadian berkenaan.

Menurutnya, ketika kejadian, mangsa bersama dua lagi anggota berada di dalam kenderaan pasukan berkenaan.

Katanya, ketiga-tiga anggota dibawa menggunakan ambulans ke Jabatan Kecemasan Hospital Kinabatangan untuk mendapatkan rawatan susulan kemalangan berkenaan.

“Bagaimanapun, Mathew disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan pada jam 4.53 petang.

“Jenazah mendiang akan dibawa pulang ke Kuching, Sarawak untuk urusan selanjutnya,” katanya.

Janeve turut merakamkan ucapan takziah kepada keluarga mendiang dan menyifatkan pemergiannya sebagai satu kehilangan buat seluruh warga IPD Kinabatangan.

“Bagi pihak seluruh warga IPD Kinabatangan, saya merakamkan ucapan takziah kepada keluarga mendiang.

“Semoga keluarga diberikan kekuatan dan ketabahan dalam menghadapi kehilangan ini,” katanya. – Info X