KOTA KINABALU: Polis masih meneruskan siasatan berhubung kemalangan membabitkan anggota polis selepas motosikal ditunggangnya bertembung dengan sebuah jip di Jalan Lintas, berhadapan sebuah pasar raya, di sini, pada 15 April lalu.
Pemangku Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Jauteh Dikun berkata, anggota polis berpangkat Koperal yang parah putus kaki kanannya itu masih menerima rawatan di Hospital Queen Elizabeth I (HQE I).

“Masih dalam rawatan (anggota polis) dan siasatan masih lagi berjalan untuk mempastikan bahawa keadilan akan diberikan kepada semua pihak,” katanya ketika ditemui media pada Pelancaran Op Selamat 20 Sempena Hari Raya Aidilfitri 2023 di Jalan Tuaran Bypass, dekat Rampayan, Manggatal, di sini, semalam.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai perkembangan siasatan kemalangan membabitkan anggota polis yang parah putus kaki kanan sehingga bahagian betis akibat terkena besi hadapan kenderaan berkenaan.
Mengulas lanjut, Jauteh berkata, pemandu Jip dibebaskan dengan jaminan polis namun siasatan masih berjalan.
Info X pada 16 April lalu, melaporkan anggota polis putus kaki kanan apabila motosikal ditunggangnya bertembung dengan sebuah jip.
Dalam kejadian kira-kira 9.30 malam itu, mangsa berpangkat koperal berusia 35 tahun yang bertugas di bahagian Unit Rondaan Bermotosikal (URB) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu, dalam perjalanan ke tempat kerja.
Menurut saksi kejadian, pemandu jip dikatakan membuat pusingan U di tempat yang salah.
Kes disiasat mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987. – info X