KOTA KINABALU: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, sekali lagi datang ke Sabah hari ini, kali ini bagi menghadiri Himpunan Perdana Rakyat di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC).
Program yang julung kali dianjurkan PKR Sabah itu dijadual bermula jam 8 pagi ini hingga 2 petang nanti, dijangka dihadiri ribuan ahli PKR, selain rakan parti Pakatan Harapan (PH) dan Kerajaan Perpaduan.
Presiden PKR itu dijangka tiba pada jam 12.30 tengah hari sebelum menyampaikan Pidato Perdana yang menjadi kemuncak sambutan himpunan berkenaan.
Anwar turut dijadual menyempurnakan Pelancaran Deklarasi Kinabalu dan Pelancaran Kibaran Jalur Gemilang peringkat negeri selepas selasai menyampaikan pidato.
Turut hadir dan berucap pada program itu ialah Ketua Menteri yang juga Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Datuk Seri Hajiji Noor dan Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) PKR Sabah, Datuk Mustapha Sakmud.
Perdana Menteri dijangka meninggalkan program sejurus acara tamat pada jam 2 petang dan kembali ke ibu negara bagi menghadiri Himpunan Pembebasan Palestin di Stadium Axiata, Bukit Jalil pada jam 9 malam.
Ia adalah lawatan kerja ketiga Perdana Menteri ke Sabah pada tahun ini selepas sambutan Aidilfitri Kerajaan Perpaduan yang pada April lalu dan sambutan Kaamatan pada akhir Mei lalu.
Pada Julai lalu, Anwar turut dijemput ke Konvensyen Barisan Nasional (BN) Sabah, namun tidak dapat menghadirinya disebabkan ada program rasmi di ibu negara.
Selain itu, Perdana Menteri sekali lagi dijangka ke Sabah pada 16 September depan sempena sambutan Hari Malaysia. – Info X