KUALA LUMPUR: Jasa dan khidmat bakti Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali kepada negara wajar dikenang, khususnya sumbangannya dalam kerja kebajikan serta keprihatinannya terhadap masalah rakyat.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, Allahyarham dikenali sebagai negarawan yang aktif melaksanakan kerja kebajikan dan menunjukkan keprihatinan terhadap isu serta permasalahan rakyat ketika suaminya, Tun Dr Mahathir Mohamad, berkhidmat sebagai Perdana Menteri.
“Kita simpati pada Tun Mahathir dan keluarga dan kita juga kenang jasa dan khidmat dia kepada negara.
“Tun Dr Siti Hasmah aktif masa dia jadi isteri Perdana Menteri dengan kerja-kerja kebajikan dan keprihatinan terhadap masalah rakyat. Terima kasih atas jasa itu,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menyampaikan ucapan pada persidangan International Future Conference 2026 (IFC 2026) di Institut Pemikiran dan Tamadun Islam Antarabangsa (ISTAC), Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), kampus Kuala Lumpur, di sini hari ini.
Anwar turut menzahirkan ucapan takziah kepada Dr Mahathir dan seluruh ahli keluarga, selain memaklumkan akan hadir memberi penghormatan terakhir kepada Allahyarham.
Sementara itu, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menyifatkan pemergian Tun Dr Siti Hasmah sebagai kehilangan besar buat negara dan keluarga khususnya.
Beliau berkata, sepanjang puluhan tahun, rakyat menjadi saksi kepada Allahyarham sebagai teman hidup Dr Mahathir, berkongsi kehidupan, membesarkan keluarga serta mendampingi bekas Perdana Menteri itu ketika memikul amanah negara.
Ahmad Zahid berkata, Dr Siti Hasmah turut dikenang atas khidmatnya sebagai seorang doktor serta keprihatinannya terhadap kesejahteraan masyarakat.
Katanya, keperibadian, kelembutan, kesederhanaan dan keteguhan Allahyarham sepanjang hayat menjadikan beliau insan yang disayangi serta contoh teladan kepada rakyat Malaysia.
“Pagi ini, negara berduka atas pemergian Allahyarham Tun Dr Siti Hasmah seorang tokoh wanita yang begitu dihormati dan dekat di hati rakyat Malaysia.
“Sukar untuk membayangkan betapa sunyinya kehilangan insan yang begitu lama berada di sisi,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.
Ahmad Zahid dan keluarga turut merakamkan ucapan takziah kepada Dr Mahathir serta seluruh keluarga dan mendoakan mereka dikurniakan kekuatan serta ketabahan menghadapi kehilangan itu.
Beliau turut mendoakan semoga Allah SWT mengampuni Allahyarham, menerima segala amal kebajikannya dan menempatkan rohnya dalam kalangan orang beriman.
Dr Siti Hasmah meninggal dunia di Institut Jantung Negara (IJN) pagi ini pada usia 100 tahun.
Berita pemergian Allahyarham disahkan anaknya, Tan Sri Mokhzani Mahathir, ketika dihubungi Bernama hari ini.
Allahyarham meninggalkan tujuh orang anak.–BERNAMA