TONGOD: Pengerusi Borneo Cement Sabah Sdn Bhd (BCS), Datuk Masiung Banah mempertahankan langkah kerajaan negeri meluluskan pembinaan kilang simen di lokasi terpencil dikelilingi hutan di daerah ini.
Beliau berkata, pendekatan itu adalah lebih baik berbanding membina kilang di kawasan bandar kerana dibimbangi menimbulkan pencemaran udara dan sisa kilang yang menjejaskan kehidupan penduduk.
“Apa masalahnya kilang simen dibina dalam hutan, takkan kita bina dalam bandar pula. Bukankah lebih baik zon perindustrian kilang simen terletak jauh di kawasan hutan.
“Jika kita bina berdekatan bandar sudah tentu ia akan menimbulkan masalah sisa pepejal dan pencemaran udara yang kritikal.
“Selain batu kapur, bahan mentah membuat simen seperti tanah liat, pasir dan batu terdapat dalam zon perindustrian kilang berkenaan, ” katanya.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan Jelajah Gabungan Rakyat Sabah (GRS) di Kampung Sogo-Sogo, di sini.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuamut itu mengulas isu yang dibangkitkan ADUN Lamag, Datuk Seri Bung Moktar Radin dalam perbahasannya ketika Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN), pada 15 April lalu.
Bung Moktar antara lain mempersoalkan pembinaan kilang simen itu di Tongod yang disifatkannya tidak sesuai kerana didirikan di kawasan hutan tanpa bekalan elektrik, air dan akses jalan raya.
Ketua UMNO Sabah itu juga mendakwa, pelabur utama kilang simen terbabit sudah menarik diri dan kini berlaku akiviti pembalakan di kawasan yang dibangunkan untuk projek berkenaan.

Masiung meluahkan kehairanannya terhadap Bung Moktar yang tidak menyokong kewujudan kilang simen berkenaan sedangkan ia memberi impak ekonomi yang luas kepada warga Tongod.
“Mungkin juga Bung Moktar mempunyi agenda lain kerana tindakan beliau itu menimbulkan kemarahan penduduk Tongod seolah-olah projek yang dalam dalam proses pelaksanaan itu menemui kegagalan.
“Sebagai Ahli Parlimen di kawasan ini, beliau sepatutnya menyokong usaha murni itu kerana ia menawarkan lebih 1,000 pekerjaan kepada pendududuk tempatan, selain peluang perniagaan kepada warga Tongod yang disenaraikan sebagai daerah termiskin di Malaysia,” katanya.
Masiung menasihatkan Bung Moktar supaya tidak mudah melatah hanya kerana mengutip cerita kedai kopi, sebaliknya mempelawa Ahli Parlimen Kinabatangan itu melawat sendiri perkembangan kerja awal di kawasan kilang simen berkenaan.
Masiung berkata, beliau tidak nampak wujud pembalakan di kawasan pembangunan kilang simen terbabit kerana hampir keseluruhan kawasan itu hanya dipenuhi batu kapur yang menjadi antara bahan membuat simen.
Jelasnya, pelabur utama projek itu, Sinoma International Engineering Co Ltd dari China dan BCS kini sedang giat menjalankan kerja awal membina jalan raya dari tapak kilang di Kampung Kayawoi menuju jalan utama ke Kampung Matiku, Nabawan.
Sementara itu, katanya kerja penyambungan elektrik dan air kini sedang dibina serentak, manakala menara telekomunikasi optik juga sedang dilaksanakan bagi memudahkan perhubungan.
Projek kilang klinker dan simen bernilai RM1.2 bilion itu dilancarkan Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor pada April tahun lalu.
Pada majlis itu, Masiung turut menerima seramai 112 ahli baharu diketuai bekas pesara guru, Micheal Tamoi untuk menyertai Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) Kuamut. – Info X