KOTA KINABALU: Sebanyak 100 unit ambulans jenis pacuan empat roda bakal diperoleh Angkatan Pertahanan Awam (APM) di seluruh negara mulai tahun ini.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah, Sarawak dan Tugas-Tugas Khas), Datuk Armizan Mohd Ali berkata, proses perolehan sudah dilaksanakan dan ianya bakal diagihkan secara berfasa sehingga Julai tahun hadapan.
“Penambahan aset APM terbaharu ini adalah bukti kita sentiasa mempemerkasakan aset khususnya untuk kegunaan operasi menyelamat atau lokasi bencana.
“Hal ini adalah aspek penting yang harus diambil perhatian kerana APM sedang menggerakkan usaha untuk meningkatkan keupayaan aset pertahanan awam untuk melonjakkan keberkesanan peranan sehingga ke peringkat daerah.
“Antara langkah yang dilaksanakan adalah perolehan kenderaan seperti ambulans pacuan empat roda yang dapat memudahkan pergerakan anggota penyelamat ke tempat bencana.
“Ini terutamanya untuk di kawasan struktur muka bumi dan fizikal jalan tidak sempurna seperti yang terdapat di kawasan pedalaman negeri Sabah dan Sarawak,” katanya.
Mengulas lanjut, beliau berkata untuk fasa pertama, sebanyak 30 unit ambulans pacuan empat roda akan diagihkan diseluruh negara.
“Untuk fasa pertama, sebanyak 30 unit akan diserahkan kepada APM negeri Sabah, Sarawak, Kedah, Perak, dan Pahang. Daripada jumlah tersebut sebanyak lapan unit khusus untuk APM Sabah akan dibuat serahan selewat-lewatnya pada suku kedua tahun ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas menyempurnakan Majlis Pemakaian Pangkat dan Penganugerahan Pingat APM Negeri Sabah di Auditorium Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan Sabah, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Armizan menyatakan antara perkara lain yang perlu diberi perhatian adalah membabitkan aspek latihan selain melengkapkan masyarakat dengan ilmu pertahanan awam.
“Oleh itu, antara tujuan Anggota Sukarelawan Pertahanan Awam (ASPA) telah diwujudkan dan orang awam yang menyertai ASPA akan diberikan latihan sehingga memperoleh sijil serta nombor keanggotaan.
“Latihan yang dianjurkan adalah menjurus kepada asas pertahanan awam termasuk kemahiran pengurusan bencana,” katanya.

Menurut beliau, setakat Januari tahun ini, seramai 1,972,077 ASPA sudah mendapatkan latihan.
Katanya, jumlah anggota ASPA telah terlatih adalah seramai 196,651 orang bagi negeri Sabah. – Info X