Search

APM Sabah terima 15 kenderaan

June 23, 2023

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Sabah menerima lapan daripada 15 kenderaan ambulans pacuan empat roda untuk kegunaan pasukan terbabit di Tuaran, Papar, Sandakan, Keningau, Pitas, Ranau, Putatan dan Kalabakan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah, Sarawak dan Tugas-tugas Khas) Datuk Armizan Mohd Ali berkata perolehan ini bagi meningkatkan lagi peranan APM mengendalikan khidmat keselamatan, pertahanan awam, kecemasan serta bencana di semua pelosok tanah air terutama di kawasan pedalaman.

“Kemudahan ini bagi memperkasa penugasan APM selaras dengan Akta APM 1951 untuk melatih dan melengkapkan masyarakat awam agar mewujudkan kesiapsiagaan dalam memastikan masyarakat mampu berdepan sebarang ancaman musuh, bencana atau kecemasan.

“Paling penting kita melaksanakan satu program baharu iaitu inisiatif membekalkam ambulans pacuan empat roda ke Sabah, Sarawak dan Semenanjung khusus untuk kawasan luar bandar dan pedalaman sebagai keutamaan,” katanya semasa majlis penyerahan di perkarangan Menara Kinabalu, di sini, hari ini.

Turut hadir Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Noor, Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Seri Panglima Safar Untong, Setiausaha Persekutuan Sabah Datuk Makhzan Mahyuddin dan Ketua Pesuruhjaya APM Aminurrahim Mohamed.

Bercakap lanjut Armizan berkata asas paling utama adalah bagi memperkukuh mekanisma pengurusan bencana negara iaitu APM sebagai urusetia kepada Jabatan Pengurusan Bencana di peringkat daerah dan Jawatankuasa Pengurusan Bencana di peringkat negeri.

“Kita ingin melengkapkan bukan hanya pada peringkat sumber manusia tetapi juga perolehan aset untuk membolehkan APM berfungsi dengan lebih berkesan.

“Tahun ini kita memperoleh syor bagi membekalkan ambulans pacuan empat roda ke daerah tertentu kerana ada keperluan di kawasan pedalaman kampung yang tidak boleh diakses dengan kemudahan ambulans biasa.

“Disebabkan itu, kita memperkenalkan inisiatif ini dan Alhamdulilah tahun ini kita mendapat masing-masing 15 ambulans pacuan empat roda bagi Sabah dan Sarawak,” katanya.

Menurutnya lapan unit diberikan bagi fasa pertama dengan baki tujuh unit untuk penyerahan bahagian kedua tahun ini.

“Kita ucapkan terima kasih kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim kerana meluluskan permohonan APM ini dan dengan adanya kelengkapan aset ini kita dapat memperkasa peranan APM melalui kerjasama pimpinan di peringkat kampung.

“Kita mahu khidmat bakti APM sampai ke semua pelosok tanah air termasuk kawasan pedalaman,” katanya.

Menurutnya sebelum ini APM mempunyai aset bagi ambulans biasa bagaimanapun terdapat kekangan untuk penggunaan kenderaan ini terutama di kawasan yang sukar diakses terutama di tempat yang mempunyai kekangan geografi.

“Sebagai contoh, walaupun Penampang terletak dekat dengan ibu negeri, ada kawasan yang tidak boleh diakses dengan kenderaan biasa.

“Ambulans pacuan empat roda ini tergolong dalam kategori gred B yang membolehkan kakitangan berkomunikasi secara langsung dengan pihak hospital semasa membawa mangsa apabila berlaku kecemasan atau bencana,” katanya. – Info X