SANDAKAN: Seorang wanita cedera selepas terjatuh ke dalam lubang saliran parit berhampiran Wisma Persekutuan Sandakan, di sini, sebelum diselamatkan anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), pagi tadi.
Kejadian itu berlaku di kawasan berhampiran Jabatan Kebajikan, sekali gus menarik perhatian orang awam yang berada di lokasi sebelum bantuan kecemasan diminta.
Menurut APM Daerah Sandakan, pasukan penyelamat digerakkan sebaik menerima maklumat sebelum bertindak menggunakan peralatan khas bagi mengeluarkan mangsa dari dalam lubang berkenaan.
“Mangsa berjaya dikeluarkan dalam tempoh singkat dan diberikan rawatan awal di lokasi kejadian,” menurut kenyataan APM, hari ini.

Mangsa dilaporkan berada dalam keadaan stabil namun mengalami kesakitan di bahagian belakang badan serta kecederaan pada buku lali kanan.
Susulan itu, mangsa dihantar ke hospital berhampiran untuk mendapatkan rawatan lanjut. – Info X