LAHAD DATU: Cubaan menyeludup masuk rokok dan minuman keras pelbagai jenama ke negara jiran digagalkan oleh Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), hari ini.
Dalam kejadian jam 4.50 pagi itu, bot peronda APMM Lahad Datu mengesan sebuah bot enjin sangkut tanpa nombor pendaftaran dalam keadaan mencurigakan di 0.5 batu nautika di kawasan barat daya rumah api Tanjung Labian.
Pengarah APMM Zon Maritim Lahad Datu, Komander Maritim Nik Mohd Rizam Nik Mohd Fauzi berkata, menyedari kehadiran bot peronda APMM, bot suspek memecut laju ke arah daratan yang berdekatan namun berjaya ditahan.
Bagaimanapun katanya, dua suspek berjaya terjun ke laut dan melarikan diri ke kawasan daratan berhampiran.
“Hasil pemeriksaan mendapati bot berkenaan membawa sejumlah 24 botol dan dua tin minuman keras pelbagai jenama.
“Turut ditemui 70 kotak rokok dipercayai cuba diseludup masuk dari Filipina,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Menurutnya, semua minuman keras, rokok, bot dan sebuah enjin sangkut yang dianggarkan bernilai RM20,000 dirampas untuk siasatan lanjut.
“Kes disiasat mengikut Akta Kastam 1967,” katanya.
Sementara itu, beliau berkata, pihaknya memohon kepada masyarakat khususnya komuniti maritim di kawasan Lahad Datu supaua terus memberi kerjasama dengan melaporkan kepada pihak agensi ini sekiranya terdapat sebarang maklumat berkaitan salah laku kegiatan jenayah di laut. – Info X