Search

APMM selamatkan 9.6 tan gula daripada cubaan seludup

February 16, 2025

Info X Reporters

TAWAU: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) mematahkan cubaan menyeludup keluar 9,600 kilogram gula pasir peket di kedudukan 2.4 batu nautika selatan Batu 3, di sini, semalam.

Dalam kejadian 8.30 pagi itu, APMM Tawau turut menahan juragan lelaki warga tempatan berusia 23 tahun yang juga pekerja di atas bot kargo berkenaan.

Pengarah Zon Maritim Tawau, Kepten Maritim Shahrizan Raman berkata, bot peronda APMM yang sedang menjalankan Op Timur dan Op Tiris mengesan pergerakan bot kargo sedang bergerak dari arah Sungai Tawau menuju ke sempadan perairan negara.

“Pemeriksaan awal mendapati, bot kargo itu dikendalikan seorang juragan dan dokumentasi seterusnya mendapati juragan gagal mengemukakan sebarang permit berkaitan barang kawalan yang dibawa dan tiada sebarang
pengikraran barangan dilakukan.

“Semakan juga mendapati nama juragan juga tiada daftar di dalam lesen bot,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Menurutnya, juragan ditahan bersama bot kargo dan muatan serta diiring ke Jeti Zon Maritim Tawau untuk pemeriksaan dan siasatan lanjut.

Juragan bawa muatan gula pasir paket disyaki cuba diseludup keluar ditahan APMM di perairan Tawau. – Foto/APMM

“Hasil penggeledahan menyeluruh ke atas bot kargo itu menemukan sejumlah 9,600 kilogram gula pasir paket sekilo di dalam bot kargo berkenaan.

“Kes disiasat mengikut Akta Kastam 1967, Akta Kawalan Bekalan 1961 dan Enakmen Jabatan Pelabuhan dan Dermaga Sabah (JPDS).

“Semua barangan termasuk bot kargo, enjin bot dan muatan barangan disita dengan nilai keseluruhan rampasan dianggarkan berjumlah RM60,000,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata, pihaknya akan terus memperkasakan tugas penguatkuasaan bagi membanteras aktiviti-aktiviti yang menyalahi undang-undang di Zon Maritim Malaysia khususnya di perairan Timur Sabah (ESSZONE).

“Kerjasama dengan agensi-agensi lain akan terus diperkukuhkan demi memastikan undang-undang negara sentiasa dipatuhi.

“Salurkan sebarang salah laku jenayah yang berlaku di sekitar perairan Tawau ke talian Pusat Operasi Zon Maritim Tawau 089-752116 atau talian kecemasan 999,” katanya. – Info X