KUDAT: Tindakan sebuah bot pancing membawa muatan barang kawalan tanpa permit membawa padah apabila ditahan oleh Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dalam Op Khas Pagar Laut, semalam.
Bot pancing yang dikendalikan dua lelaki warga tempatan berusia 15 dan 28 tahun ditahan APMM Kudat di kedudukan 0.5 batu nautika timur muara Marina, jam 8.30 pagi.
Pengarah Zon Maritim Kudat, Komander Maritim Maurice Grenville Abeyeratne berkata, bot ronda Zon Maritim Kudat yang ketika itu sedang menjalankan rondaan segera diatur gerak ke lokasi sejurus menerima maklumat daripada unit perisikan.
Katanya, hasil pemeriksaan mendapati, bot pancing terbabit dikendali dua lelaki warga tempatan.
“Pemeriksaan lanjut juga menemui lapan tong berisi minyak petrol dan lima tong gas di atas bot pancing berkenaan yang dibawa tanpa permit sah.
“Seterusnya bot serta barang rampasan dibawa ke jeti dan diserahkan kepada pegawai penyiasat Zon Maritim Kudat untuk siasatan lanjut,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Menurutnya, nilai rampasan dianggarkan lebih RM100,000 dan kes disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961 kerana disyaki membawa barang kawalan tanpa dokumen yang sah.
“Kes turut disiasat di bawah Enakmen Pelabuhan dan Dermaga Sabah kerana menyalahguna syarat lesen.
“Zon Maritim Kudat memohon kepada komuniti untuk terus memberikan kerjasama bagi melaporkan sebarang salah laku jenayah di laut kepada APMM melalui Pusat Operasi Kudat di talian 088-611858 dan talian MERS 999 yang beroperasi 24 jam,” katanya. – Info X