TAWAU: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) menahan sebuah bot kargo selepas didapati membawa muatan barang kawalan tanpa permit di kedudukan 1.5 batu nautika utara Sungai Pukol, di sini, semalam.
Dalam kejadian jam 10 pagi itu, anggota APMM yang menjalankan Op Pluto Timur dan Op Tiris mengesan sebuah bot kargo dalam keadaan mencurigakan.
Pengarah Zon Maritim Tawau, Kepten Maritim Shahrizan Raman berkata, pihaknya mengesan bot berkenaan bergerak keluar dari perairan Tanjung Batu menuju ke Pulau Sebatik.
Katanya, anggota APMM bertindak mengejar dan menahan bot berkenaan untuk pemeriksaan dokumentasi.
“Pemeriksaan awal ke atas bot berkenaan mendapati terdapat seorang lelaki warga tempatan berusia 20 tahun bertindak sebagai juragan bot.
“Pasukan operasi menemukan 48 kilogram (kg) gula pasir paket, 34 kg minyak masak paket, dua tong gas LPG berisi dan tiga gelen minyak petrol anggaran 90 liter tanpa sebarang permit yang sah,” katanya.
Menurutnya, suspek kemudian ditahan, manakala barang kawalan dan bot yang dianggarkan bernilai RM24,000 itu dibawa ke Jeti Zon Maritim Tawau untuk tindakan lanjut.

“Kes berkenaan disiasat mengikut Akta Kastam 1967 dan Akta Kawalan Bekalan 1961 kerana tidak memiliki permit,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Shahrizan berkata, pihaknya akan terus melaksanakan penguatkuasaan tanpa mengira kuantiti barangan yang dibawa berikutan modus operandi pengusaha membawa muatan secara berulang diambil kira.
“APMM akan terus memperkasakan tugas penguatkuasaan dan mengoptimumkan pengoperasian bagi membanteras aktiviti-aktiviti yang menyalahi undang-undang di Zon APMM khususnya di perairan Timur Sabah (ESSZONE),” katanya. – Info X