Search

APMM tahan bot kargo bawa barang kawalan tanpa permit

September 15, 2023

Info X Reporters

KUDAT: Tindakan sebuah bot kargo membawa muatan barang kawalan bersubsidi tanpa permit sah membawa padah apabila ditahan oleh Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) di perairan daerah ini, semalam.

Bot kargo itu ditahan APMM kudat ketika melaksanakan rondaan Op Tiris di kedudukan kira-kira 2.7 batu nautika timur laut muara Kudat, jam 8.30 malam.

Katanya, hasil pemeriksaan, terdapat tiga individu yang mengendalikan bot berkenaan terdiri daripada seorang warga tempatan sebagai tekong manakala dua lagi awak-awak warga Filipina.

“Seorang daripada individu terbabit tidak mempunyai sebarang dokumen pengenalan diri yang sah. Ketiga-tiga individu terbabit berusia lingkungan 19 hingga 33 tahun.

“Pemeriksaan lanjut ke atas bot kargo berkenaan menemui minyak petrol yang disimpan di dalam tangki simpanan bot berkenaan dianggarkan hampir 2,000 liter dibawa tanpa permit yang sah daripada pihak berkuasa,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Tekong dan dua awak-awak bot kargo yang ditahan APMM di perairan Kudat. – Foto/APMM

Susulan itu, katanya semua suspek bersama bot dan barang rampasan ditahan sebelum dibawa ke jeti untuk diserahkan kepada pegawai penyiasat Zon Maritim Kudat bagi tindakan selanjutnya.

“Nilai keseluruhan rampasan dianggarkan kira-kira RM232,000.

“Kes disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961 dan Akta Imigresen 1959/1963,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata, Zon Maritim Kudat memohon kepada masyarakat khususnya komuniti maritim
membantu pihak agensi dengan melaporkan sebarang salah laku atau kegiatan jenayah yang berlaku di laut kepada APMM. – Info X