Search

APMM tahan bot nelayan bawa barang kawalan subsidi tanpa permit

August 30, 2023

Info X Reporters

KUDAT: Tindakan sebuah bot nelayan membawa barang kawalan bersubsidi tanpa permit menerima padah apabila ditahan Agensi penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) di perairan daerah ini, awal pagi tadi.

Dalam kejadian jam 1.20 pagi itu, bot nelayan dinaiki tiga individu ditahan anggota APMM kira-kira jam 1.20 pagi selepas dikesan dalam keadaan mencurigakan.

Pengarah Zon Maritim Kudat, Komander Maritim Maurice Grenville Abeyeratne berkata, bertindak dengan maklumat risikan yang diterima, sebuah bot dikesan dalam keadaan mencurigakan ketika menjalankan rondaan Op Pluto Timur di sekitar perairan daerah ini.

Katanya pasukan rondaan kemudian mengarahkan bot berkenaan untuk berhenti bagi tujuan pemeriksaan di kedudukan 0.6 batu nautika timur muara Marina Kudat.

“Hasil pemeriksaan mendapati, bot itu dikendalikan tiga individu terdiri daripada seorang warga tempatan sebagai tekong manakala dua lagi adalah warga Filipina yang berusia lingkungan 34 hingga 46 tahun.

“Pemeriksaan lanjut kemudian menemukan 80 tong berwarna biru dipercayai mengandungi minyak petrol yang dianggarkan 1,600 liter yang dibawa di dalam bot berkenaan tanpa permit yang sah,” katanya dalam kenyataan media, hari ini

Beliau berkata, ketiga-tiga suspek bersama bot dan barang rampasan yang bernilai lebih RM100,000 itu kemudian dibawa ke jeti untuk diserahkan kepada pegawai penyiasat Zon Maritim Kudat untuk siasatan lanjut.

Anggota APMM menjalankan pemeriksaan di dalam bot suspek. – Foto/APMM

“Kes disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961 kerana membawa barang kawalan bersubsidi dengan niat untuk melakukan kesalahan dan Enakmen Pelabuhan dan Dermaga Sabah 2002 kerana melanggar syarat sah lesen.

“Pihak Zon Maritim Kudat juga memohon kepada masyarakat khususnya komuniti maritim supaya membantu agensi dengan melaporkan sebarang salah laku atau kegiatan jenayah yang berlaku di laut.

“Orang ramai boleh menghubungi di talian 088-611858 (Pusat Operasi Kudat) dan talian MERS 999 yang beroperasi 24 jam,” katanya. – Info X