Search

APMM tahan lebih 4,000 migran sepanjang tahun ini

May 22, 2026

Info X Reporters

SANDAKAN: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) merekodkan penahanan 4,107 migran dan 316 penyeludup di bawah Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 (ATIPSOM) sepanjang tahun ini.

Timbalan Ketua Pengarah Operasi Maritim Malaysia, Laksamana Madya Maritim Mohd Zawawi Abdullah berkata, sindiket penyeludupan migran dikesan masih aktif menggunakan perairan negara susulan kedudukan strategik Malaysia di rantau ini.

“Statistik tahun ini menunjukkan warga Myanmar mencatat jumlah tertinggi migran ditahan iaitu seramai 1,932 orang, diikuti Indonesia (1,727) dan Filipina (180).

“Situasi ini membuktikan ancaman penyeludupan migran masih serius dan memerlukan tindakan penguatkuasaan agresif serta berterusan di semua kawasan perairan negara,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penutupan Operasi Redback 22/2026 yang dilaksanakan bersama Australian Border Force (ABF) di perairan Sandakan bermula 18 hingga 22 Mei lalu.

Turut hadir Pengarah Maritim Negeri Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan, Laksamana Pertama Maritim Mohd Khairulanuar Ab Majid; Ketua Staf Bahagian Operasi Laut ESSCOM, Laksamana Pertama Maritim Abdul Razak Mohamed; Pengarah Maritim Zon Sandakan, Kepten Maritim Muhamad Suhairy Hussain serta Kaunselor ABF ke Malaysia, Superintenden Brooke Leung.

Dalam perkembangan sama, Mohd Zawawi berkata, Maritim Malaysia membuka lapan kertas siasatan berkaitan kes penyeludupan migran tahun ini membabitkan penahanan 19 penyeludup dan 233 migran.

“Majoriti penyeludup yang ditahan membabitkan warga Indonesia seramai 13 orang, diikuti Myanmar (tiga), Thailand (dua) dan seorang warga tempatan.

“Bagi migran yang ditahan atau diselamatkan pula, seramai 184 adalah warga Indonesia, diikuti Myanmar (46) dan Bangladesh (tiga),” katanya.

Beliau berkata, operasi berkenaan turut membabitkan lima aset utama iaitu KM Pintar, KM Tebrau, Bot Banggi 14, Bot Kilat 34 dan Bot Kilat 37 selain rondaan laut, penggunaan Sea Rider, perkongsian risikan serta libat urus komuniti nelayan di Kampung Sungai Daling dan Kampung Bambangan.

Katanya, antara kejayaan operasi ialah rampasan 27 kotak minyak masak dalam pemeriksaan di Jeti Nelayan Kampung Pukat pada 21 Mei lalu.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 kerana memiliki barang kawalan tanpa kebenaran sebelum semua rampasan dibawa ke Jeti Zon Maritim Sandakan untuk tindakan lanjut,” katanya.

Mohd Zawawi berkata, operasi penguatkuasaan akan terus diperkasa melalui risikan, rondaan dan kerjasama pelbagai agensi di peringkat dalam negara serta antarabangsa bagi membendung aktiviti penyeludupan migran dan jenayah rentas sempadan. – Info X