TUARAN: Seorang lagi pelari Tambunan, Abernetha Elissa Tadius berjaya mencipta rekod baharu kejohanan menerusi acara 100 meter lari berpagar wanita yang berlangsung di Kompleks Sukan Tuaran, di sini, pagi tadi.
Abernetha mencatat masa 14.96s sekali gus memadamkan rekod yang dipegang Agnes Lescoin Philip dari Penampang dengan catatan masa 15.15s pada Sukan Sabah (SAGA) 2013.
Pingat perak bagi acara itu pula dimenangi atlet Ranau, Veeronica Seibit dengan catatan masa 15.49s dan gangsa dimenangi atlet Keningau Cassandra Joanna Patrick dengan catatan masa 15.59s.
Semalam, Tambunan turut mencatat rekod baharu kejohanan menerusi acara 100 meter pecut lelaki yang dimenangi Hanssen Yap Soon Fu dengan catatan masa 10.46s.
Sementara itu, bagi acara 110 meter lari berpagar Lelaki berjaya dimenangi atlet Kudat, Mohammad Izz Zaidi Junaiday dengan catatan masa 15.51s membolehkan beliau membawa pulang pingat emas.
Bagi pingat perak dalam acara sama ianya dimenangi atlet Kalabakan Muhammad Ilham Jaffar dengan catatan masa 15.52s dan gangsa dimenangi atlet Lahad Datu Muhamad Fazrul Nizam Ajah dengan catatan masa 15.82s.
Turut diadakan acara olahraga peringkat akhir hari ini adalah 5000 meter kategori Lelaki yang dimenangi Nikos Tai Lee Onn dengan catatan masa 16:52.92s.
Pingat Perak berjaya diraih Mohammad Ahsan Atta Ur Rahman mewakili Beaufort dengan catatan masa 17:27.12s dan gangsa dimenangi Muhammad Dzulfikri Matin mewakili Kota Kinabalu dengan catatan masa 17:27.65s.
Selain Abernetha, atlet Tambunan bagi acara 200 meter Dexter Bedie turut berjaya mencipta rekod baharu kejohanan pada peringkat separuh akhir bagi acara itu petang tadi.
Dexter berjaya mencatat masa 22.06s sekaligus memecahkan rekod yang dicatat Muhammad Din Norbik dari Kota Belud yang mencatat masa 22.09s pada SAGA 2017. – Info X