PAPAR: Tindakan seorang suspek melarikan diri selepas kenderaannya dikesan dalam keadaan mencurigakan di Lebuhraya Pan Borneo berhampiran Kampung Mook, Kinarut, membawa kepada penemuan pelbagai peralatan dipercayai digunakan untuk kegiatan jenayah, semalam.
Dalam kejadian itu, anggota Unit Kereta Peronda (MPV) Bahagian Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (BPJKK) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Papar yang menjalankan rondaan cegah jenayah mengesan sebuah Perodua Axia dalam keadaan mencurigakan.
Ketua Polis Daerah Papar, Superintendan Heryan Mohd Tahir berkata, suspek bagaimanapun bertindak melarikan diri sebaik menyedari kehadiran polis.
“Hasil pemeriksaan ke atas kenderaan itu menemukan beberapa barangan disyaki berkaitan kegiatan pecah rumah, curi kabel serta bahan disyaki dadah jenis syabu.
“Turut dirampas beberapa peralatan termasuk mesin pemotong, chain block, kabel tembaga, alat pemotong wayar dan sebuah telefon bimbit dipercayai milik suspek,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Menurutnya, suspek berjaya meloloskan diri ke kawasan semak berhampiran dan usaha mengesannya sedang giat dijalankan.
Katanya, semua barang rampasan bersama kenderaan terbabit diserahkan kepada pegawai penyiasat untuk tindakan lanjut mengikut peruntukan undang-undang sedia ada.
“Syabas dan tahniah kepada anggota MPV BPJKK IPD Papar atas tindakan pantas, komitmen dan kecekapan dalam menjalankan tugas demi memastikan keselamatan serta ketenteraman awam terus terpelihara,” katanya.
Beliau turut meminta orang ramai menyalurkan maklumat berkaitan kegiatan curi kabel kepada Pusat Gerakan IPD Papar di talian 088-916064 atau mana-mana balai polis berhampiran. – Info X