Search

Ayam import China dilabel dari Thailand dirampas di Pelabuhan Teluk Sepanggar

July 19, 2026

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Pihak berkuasa menahan 12 kontena mengandungi 348 tan makanan sejuk beku, sebahagian besarnya ayam diragui status halal yang dianggar bernilai RM3.42 juta menerusi pemeriksaan di Pelabuhan Teluk Sepanggar, di sini.

Kontena terbabit ditahan Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS), Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) dan pegawai Jabatan Perkhidmatan Veterinar Sabah selepas dikesan mengandungi produk meragukan menerusi Ops Ribat Sepanggar 1/2026 pada 16 Julai lalu.

Berikutan itu, Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan Sabah, Datuk Jamawi Jaafar ketika meninjau penahanan kontena terbabit hari ini, menyifatkan tindakan membawa masuk produk sejuk beku terbabit boleh menjejaskan keyakinan masyarakat, terutama umat Islam.

Beliau turut menyatakan komitmen untuk memperkukuh kerjasama dengan semua agensi penguatkuasaan bagi membanteras penyeludupan makanan, khususnya produk yang diragui status halal, daripada memasuki pasaran negeri ini.

“Saya memuji usaha AKPS, Jabatan JKDM dan pegawai Jabatan Perkhidmatan Veterinar yang bertugas di pelabuhan ini kerana berjaya mengesan serta menghalang kontena-kontena ini daripada keluar ke pasaran terbuka.

“Jika terlepas, ia boleh mengganggu keyakinan masyarakat, khususnya umat Islam, terhadap bekalan makanan halal yang berada di pasaran,” katanya kepada pemberita selepas meninjau lokasi rampasan di Pelabuhan Teluk Sepanggar, di sini, pada Ahad.

Hadir sama Pembantu Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan Sabah, Datuk Ruslan Muharam; Timbalan Setiausaha Tetap kementerian, Datuk Jumain Abdul Ghani dan Timbalan Pengarah Jabatan Perkhidmatan Veterinar Sabah, Dr Connie Joyce Tann.

Jamawi berkata, kontena terbabit dipercayai membawa ayam sejuk beku yang disyaki diimport dari China tetapi dilabelkan sebagai berasal dari Thailand, manakala kotak pembungkusan turut memaparkan logo halal yang menimbulkan keraguan terhadap status sebenar produk berkenaan.

Katanya, maklumat yang diterima menunjukkan kira-kira 30 kontena dengan modus operandi serupa telah dirampas sejak awal tahun ini.

“Hasil siasatan Jabatan Perkhidmatan Veterinar mendapati label yang digunakan pada kotak-kotak produk mengelirukan dari segi nama syarikat dan alamat.

“Saya menyeru pihak yang terbabit dalam kegiatan seperti ini supaya menghentikannya serta mematuhi prosedur import yang sah.

“Jabatan Perkhidmatan Veterinar sentiasa menyediakan ruang dan peluang kepada pengimport yang membawa masuk produk yang telah disahkan, dipantau dan mempunyai pensijilan halal yang diiktiraf,” katanya.

Dalam operasi pemeriksaan yang dijalankan pada 16 Julai lalu di kawasan pemeriksaan Refer 3, Pelabuhan Sepanggar, AKPS bersama JKDM dengan disaksikan pihak berkuasa pelabuhan, DP World, memeriksa 12 kontena jenis reefer yang ditahan.

Hasil pemeriksaan mendapati kesemua kontena diikrarkan secara tidak selaras dengan manifes K4 yang mencatatkan dagangan sebagai ‘vegetable’ atau ‘other food stuff’, sedangkan kandungannya terdiri daripada ayam sejuk beku dan daging babi sejuk beku.

Jamawi berkata, anggaran berat keseluruhan rampasan ialah 348,000 kilogram dengan nilai sekitar RM3.42 juta.

Beliau berkata, berdasarkan anggaran semasa, setiap kontena mengandungi kira-kira 29 tan produk dengan nilai antara RM300,000 hingga RM350,000.

“Daripada 12 kontena itu, 11 mengandungi ayam manakala satu lagi dipercayai mengandungi daging babi. Namun, terdapat satu kontena yang belum dapat diperiksa sepenuhnya dan pihak kastam sedang berurusan dengan Jabatan Laut serta pihak pelabuhan bagi mendapatkan kebenaran untuk mengeluarkan dan melupuskannya.

“Kita bimbang kandungan sebenar mungkin berbeza daripada yang dinyatakan. Sebab itu pemeriksaan dan siasatan perlu diteruskan,” katanya.

Kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 128, Seksyen 133(1) dan Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967, dan sudah diserahkan kepada JKDM untuk tindakan lanjut.

Jamawi berkata, beliau akan mengemukakan laporan berhubung rampasan itu kepada Kabinet negeri serta memohon mandat bagi menubuhkan jawatankuasa khas melibatkan kementeriannya, AKPS, JKDM, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan agensi penguatkuasaan berkaitan.

“Jawatankuasa ini penting bagi memastikan tindakan penguatkuasaan dapat dilaksanakan secara bersepadu, termasuk proses pelupusan barang rampasan secara teratur.

“Kita tidak akan mengalah dalam usaha membanteras penyeludupan ayam atau apa juga makanan yang tidak diisytiharkan dengan betul dan boleh menjejaskan keselamatan serta keyakinan pengguna terhadap bekalan makanan halal di Sabah,” katanya. – Info X