KOTA KINABALU: Dakwaan peguam kumpulan yang mendakwa waris kesultanan Sulu kononnya mereka bebas mengambil tindakan terhadap Sabah, termasuk menyewakan negeri ini kepada China atau Filipina disifatkan sebagai tidak masuk akal.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said, dilaporkan berkata sebagai negara berdaulat dan merdeka, perkara seumpama itu adalah mustahil kerana Sabah adalah sebahagian daripada Malaysia.
Jelasnya, jika kumpulan terbabit cuba melakukan perkara itu, pihaknya tidak akan teragak-agak untuk melawan dan mengambil tindakan sewajarnya.
“Cubalah. Apa saya boleh buat kalau dia fikir macam itu. Tapi kita negara berdaulat dan merdeka.
“Kita ada Suruhanjaya Cobbold, jadi dia (peguam kumpulan mendakwa waris Kesultanan Sulu) cakap semua perkara yang pada saya semua tidak masuk akal tetapi sebagai peguam, dia ada hak jika dia rasa anak guam dia ada hak, itu kerana percakapan dia.
“Tapi jawapan saya cubalah… kita akan lawan,” katanya seperti dilaporkan Berita Harian ketika ditemui pemberita selepas menyempurnakan Kuala Lumpur On International Arbitration 2024 di di Kuala Lumpur, semalam.
Beliau mengulas laporan berita mengenai peguam utama mewakili jumpulan Sulu, Paul Cohen yang mendakwa kemenangan Malaysia di Mahkamah Agung Perancis sebelum ini sebagai keputusan yang ‘makan diri sendiri’ dan kliennya kini bebas untuk mengambil tindakan terhadap Sabah.
Mengulas lanjut, Azalina berkata selepas ini pihaknya juga akan mengambil keputusan untuk membuat tuntutan balik kepada pihak berkenaan.
“Tapi saya hendak beritahu bahawa selepas semua kes ini selesai, kita akan buat keputusan sama ada kerajaan Malaysia hendak minta tuntutan balik pada mereka atas semua perbelanjaan duit rakyat untuk bayar peguam dan pergi mahkamah.
“Takkan main saman percuma sahaja ikut suka dia. (Jadi) ini pun kita akan buat keputusan,” katanya.
Paul Cohen didakwa berkata, tindakan mahkamah menolak cabaran oleh plaintif terhadap keputusan awal yang menolak ‘Anugerah Akhir’ hampir AS$15 bilion oleh penimbang tara Sepanyol, Dr Gonzalo Stampa kini bermakna anak guamnya bebas memajak Sabah kepada negara lain, termasuk China dan Filipina. – Info X