Search

Azis persoal tindakan Ketua Menteri ungkit biasiswa anaknya

September 9, 2024

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Ketua Penerangan Warisan, Datuk Mohd Azis Jamman, mempersoalkan tindakan Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor mengungkit kelulusan biasiswa yang diberikan kepada anaknya.

Beliau berkata, tindakan Hajiji itu untuk menunjukkan keadilan pentadbiran kerajaannya adalah tidak wajar, selain bertujuan mengalihkan kegagalan pentadbiran kerajaan pimpinannya.

Katanya, perbuatan mempolitikkan soal biasiswa dan pendidikan anak-anaknya bertentangan dengan prinsip asas sebagai seorang Ketua Menteri yang bertanggungjawab untuk semua rakyat Sabah tanpa mengira latar belakang politik.

“Saya mengambil maklum ucapan terbaharu Ketua Menteri Hajiji semasa Mesyuarat Tahunan Gagasan Rakyat Tuaran, di mana beliau menyebut kelulusan permohonan biasiswa anak-anak saya sebagai contoh keadilan kerajaannya, walaupun terhadap pihak pembangkang.

“Walaupun saya memahami tekanan yang dihadapi Hajiji untuk menggambarkan kepimpinannya sebagai saksama menjelang pilihan raya negeri (PRN) yang akan datang, adalah penting untuk mengingatkan beliau tentang prinsip asas: Ketua Menteri bertanggungjawab untuk semua rakyat Sabah, bukan hanya ahli partinya, GRS.

“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada kerajaan negeri, khususnya kakitangan bahagian biasiswa, kerana melaksanakan tugas mereka dalam meluluskan biasiswa anak-anak saya dan saya menghargai kesudian Hajiji untuk menyokong dan menitipkan, ‘OK, Sila Pertimbangkan’ kepada permohonan anak-anak saya.

“Sebagai Ketua Menteri, Hajiji perlu sedar perbezaan antara peranannya sebagai Presiden Gagasan Rakyat dan tanggungjawabnya sebagai pemimpin negeri,” katanya dalam satu kenyataan, di sini.

Semalam, Hajiji menyebut bahawa permohonan biasiswa anak Azis diluluskan atas dasar keprihatinan dan prinsip keadilan beliau terhadap pendidikan anak-anak Sabah walaupun Azis adalah pemimpin pembangkang.

Azis berkata, sudah menjadi tugas Ketua Menteri untuk berkhidmat kepada semua rakyat Sabah tanpa mengira kaum, agama, atau kecenderungan politik.

Katanya, mengesyorkan biasiswa untuk pelajar yang ibu bapanya terlibat dengan pembangkang tidak bermaksud pentadbiran kerajaan yang baik.

“Tugas seorang pemimpin adalah memastikan layanan adil dan saksama untuk semua, terutama apabila ia melibatkan akses kepada pendidikan—hak asas setiap anak Sabah.

“Perlu diingatkan kepada Hajiji bahawa apabila saya dan keluarga saya mendekati beliau, kami bukan datang sebagai lawan politik tetapi sebagai seorang bapa dan ibu serta sebagai rakyat yang menjalankan hak asas untuk mendapatkan sokongan pendidikan untuk anak-anak kami.

“Isteri saya bukan ahli politik, dan anak-anak saya tidak sepatutnya dijadikan alat untuk mencapai matlamat politik.

“Jika cucu Hajiji, bapa saudara beliau yang juga merupakan anggota kabinet Hajiji sekarang, mempunyai hak untuk memohon biasiswa atau pinjaman dan menerima bantuan kerajaan, mengapa permohonan anak-anak saya dipolitikkan hanya kerana saya mempunyai hubungan politik yang berbeza?,” soalnya.

Azis menjelaskan, permohonan biasiswa anak-anak beliau memenuhi syarat minimum untuk diluluskan

Katanya, jika permohonan itu tidak memenuhi syarat, walaupun dengan sokongan Hajiji, beliau yakin ia akan ditolak oleh bahagian biasiswa.

“Kami semua tahu proses dan prosedur yang ditetapkan, dan kerana itu, saya ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan terima kasih kepada semua penjawat awam terutama di bahagian biasiswa kerana membantu pendidikan anak-anak saya.

“Saya juga ingin mengingatkan Hajiji bahawa semasa pentadbiran Datuk Seri Shafie Apdal sebagai Ketua Menteri, beliau tidak pernah bertanya mengenai kecenderungan politik mereka yang memohon biasiswa, geran tanah, atau projek.

“Ramai rakyat Sabah juga diberikan biasiswa semasa pentadbiran Shafie dan ramai ahli pembangkang ketika itu turut datang meminta bantuan. Shafie cukup profesional untuk membezakan antara politik dan tanggungjawabnya sebagai Ketua Menteri,” katanya. – Info X