KOTA KINABALU: Tonggak Sabah FC, Baddrol Bakhtiar berkata, keputusannya meninggalkan pasukan itu bukanlah bermakna dia tidak lagi bermain bola sepak, sebaliknya mahu satu misi yang belum dapat didedahkan.
“Pada malam ini bukan perlawanan terakhir saya dalam karier bola sepak. Saya tetap akan bermain selepas ini tetapi saya ada satu misi yang saya ingin lunaskan.
“Jadi, saya mengharapkan penyokong Sabah FC mendoakan kejayaan saya selepas ni,” katanya pada sidang media selepas Sabah FC menewaskan Sri Pahang FC 4 – 0 dalam aksi Liga Super di Stadium Likas, di sini, malam tadi.
Pemain berusia 35 tahun itu berkata, beliau atau pihak pengurusannya akan memaklumkan dalam masa terdekat hala tujunya selepas perlawanan malam tadi.
“Mungkin dalam masa terdekat saya ataupun pihak pengurusan akan mengumumkan ke mana arah tuju selepas perlawanan malam ini,” katanya.
Sementara itu, beliau menyifatkan perlawanan terakhirnya bersama Sabah FC malam ini sebagai satu peristiwa yang indah dan tidak dapat dilupakan.
“Saya bersyukur pada malam ini kami Sabah FC berjaya meraih tiga mata yang penting dan ini perlawanan terakhir saya.
“Ia satu kemenangan yang tidak akan saya lupakan dan satu ‘moment’ indah yang saya terima di sini,” katanya.
Mengulas lanjut, selama dua tahun di Sabah, Baddrol berkata beliau menimba pengalaman yang sukar untuk digambarkan.
Katanya, beliau juga terharu melihat pelbagai kaum dan dikelilingi sahabat serta rakan dan pemain yang baik sepanjang berada di negeri ini.
“Saya perlu berterima kasih kepada Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Sabah FC, dan jurulatih yang banyak membentuk pasukan ini.
“Jadi saya mengharapkan perjuangan skuad Sabah FC dapat diteruskan lagi ke tahap lebih tinggi membawa nama Sabah FC ke tahap yang begitu gah lagi dan saya mendoakan kejayaan di AFC nanti,” katanya.
Sementara itu, CEO Sabah FC, Ahmad Marzuki Nasir, berkata pihak pengurusan dan peminat Sabah FC mengucapkan terima kasih atas khidmat bakti Baddrol selama kira-kira dua tahun berada di Sabah.
“Beliau telah menunjukkan dedikasi dan komitmen yang tinggi untuk membawa Sabah bermain ke peringkat yang lebih baik lagi.
“Buat masa ni saya dan Datuk Ong Kim Swee masih berbincang untuk calon pengganti Baddrol tetapi setakat ini belum ada lagi,” katanya.
Khabar angin mengatakan Baddrol mungkin bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) di Kedah bulan depan selepas dipilih sebagai calon mewakili Perikatan Nasional (PN).
Spekulasi itu timbul sejurus Sabah FC mengeluarkan kenyataan mengenai pengunduran Baddrol daripada pasukan berkenaan semalam. – Info X