Baik pulih, gantian sekolah daif di Parlimen Sipitang belum dilaksanakan

November 26, 2026

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Tiga projek baik pulih dan gantian penuh sekolah daif di Parlimen Sipitang yang sudah diluluskan di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) sehingga kini belum dilaksanakan.

Ahli Parlimen Sipitang, Datuk Matbali Musah, berkata keadaan itu menjejaskan proses pengajaran dan pembelajaran di sekolah terbabit iaitu SK Batandok, SK Garama dan SK Weston.

Ketiga-tiga sekolah berkenaan, katanya berada di bawah pentadbiran Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Beaufort.

“Selain itu, kita mohon agar projek gantian penuh satu blok bangunan di SK Luagan, Beaufort, dapat dipercepatkan menerusi Cadangan One Line Item (OLI).

“Terdapat satu blok bangunan yang menempatkan empat buah bilik darjah berada dalam keadaan daif, tidak selamat dan tidak lagi boleh digunakan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sesi perbahasan Peringkat Jawatankuasa KPM di Dewan Rakyat, Kuala Lumpur pada Khamis.

Berikutan itu, beliau meminta Kementerian Pendidikan (KPM) menyegerakan tindakan menangani isu itu dan perkara lain berkaitan pembangunan infrastruktur pendidikan di Sipitang dan Beaufort.

Tegasnya, tindakan segera penting memandangkan keadaannya yang begitu kritikal, demi mewujudkan persekitaran selesa dan kondusif untuk proses pengajaran dan pembelajaran.

Beliau bagaimanapun berterima kasih kepada KPM atas kelulusan peruntukan awal RM200,000 bagi kerja pengubahsuaian bilik-bilik khas untuk dijadikan ruang pembelajaran sementara.

Sementara itu, Matbali berkata banjir yang kerap melanda daerah Sipitang dan Beaufort turut menjejaskan proses pembelajaran murid dan pelajar.

Sehubungan itu, katanya beberapa tindakan dicadangkan, termasuk memindahkan sekolah yang kerap terjejas ke kawasan baharu.

“Berdasarkan Laporan PPD Beaufort bagi tempoh Januari hingga Jun 2026, sebanyak 39 sekolah di daerah Beaufort dan Sipitang terkesan akibat banjir.

“Daripada jumlah itu, 33 adalah sekolah rendah, tiga sekolah menengah, termasuk sebuah dalam Parlimen Sipitang iaitu SMK Gadong, dua Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) dan sebuah Kolej Vokasional.

“Daripada 33 sekolah rendah yang terkesan, sebanyak 14 terletak dalam Parlimen Sipitang iaitu SK Lago, SK Suasa, SK Garama, SK Bangkalalak, SK Jabang, SK Lupak, SK Luagan, SK Kabajang, SK Bukau, SK Padas Damit, SK Gadong, SK Bentuka, SK Kebulu, SK Kepawa dan SK Lajau,” katanya.

Bagi menangani isu banjir dan sekolah daif secara lebih berkesan, katanya pihak berkaitan sudah mengemukakan permohonan pada Ogos dan September tahun lalu untuk menimbangkan pemindahan beberapa sekolah ke tapak baharu yang lebih selamat.

Matbali berkata di kawasan Sipitang, terdapat enam isu berkaitan prasarana pendidikan perlu perhatian segera, antaranya menggantikan kantin sekolah yang uzur dengan bangunan baharu serta menyediakan ruang makan khusus bagi murid Rancangan Makanan Tambahan (RMT).

Isu lain, katanya termasuk pembangunan STEM Hub Daerah Sipitang, menggantikan bangunan beberapa sekolah rendah yang masih menggunakan struktur kayu dan uzur serta ruang menunggu berbumbung di luar kawasan sekolah.

Turut dibangkitkan kuarters guru yang diperbuat daripada kayu dan sudah uzur digantikan dengan kediaman baharu serta menaik taraf dan menyelenggara kemudahan Asrama Desa SK Melalia, SK Ulu Sipitang, SK Meligan dan SK Long Pasia yang menempatkan murid dari kawasan luar bandar dan pedalaman.

“Kemudahan seperti bilik tidur, tandas, ruang makan dan ruang belajar perlu berada dalam keadaan baik dan selesa.

“Sistem keselamatan termasuk pemasangan kamera litar tertutup (CCTV) juga wajar dipertingkatkan,” katanya.-Info X