Search

Bakar poster PM ‘stunt’ terdesak bersifat ekstremisme, vandalisme – PKR

June 24, 2025

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Pemimpin PKR Sabah menyifatkan tindakan penganjur Perhimpunan Aman Gempur Rasuah Sabah 2.0 melukis karikatur Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum membakarnya sebagai ‘stunt’ terdesak dan menyasarkan pihak yang salah.

Ketua Cabang PKR Tuaran, Razeef Rakimin, berkata tindakan didalangi kumpulan Suara Mahasiswa Universiti Malaysia Sabah (UMS) itu yang dilakukan selepas himpunan tidak mendapat sambutan adalah satu bentuk ekstremisme dan vandalisme yang bertentangan dengan budaya tempatan.

Jelasnya, adalah tidak patut Perdana Menteri dijadikan sasaran, sedangkan beliau sendiri membantu mengurangkan masalah air di UMS yang dijadikan antara alasan oleh kumpulan itu bagi menganjurkan perhimpunan berkenaan.

“Selepas himpunan gagal mendapat sambutan dan hanya dihadiri kira-kira 50-80 peserta, mereka tampil pada hari kedua dengan gimik baru dengan melakar karikatur Perdana Menteri dengan tujuan membakarnya. Ini jelas ‘stunt’ terdesak dan menyasarkan pihak yang salah.

“Perdana Menteri sebelum ini meluluskan dan telah memberikan peruntukan RM3 juta bagi menyelesaikan masalah bekalan air di UMS selepas mendengar rintihan pelajar dan Perdana Menteri tidak mengambil rasuah dari projek ini walau satu sen.

“Namun mengapa karikatur Perdana Menteri menjadi sasaran dan bukan individu-individu yang dituduh menerima rasuah?

“Walaupun begitu selepas dua kali cubaan membakar karikatur dengan petrol dilakukan, pendemonstran masih gagal untuk membakar malah peserta yang bertindak menuang petrol ke karikatur itu hampir terbakar akibat kebodohan rakannya sendiri yang menyalakan api ketika petrol dituang,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau memberi maklum balas terhadap tindakan peserta Perhimpunan Aman Gempur Rasuah Sabah 2.0 yang membakar poster karikatur Perdana Menteri pada hari kedua himpunan, pada Ahad lalu.

Razeef berkata, ia bukan soal mereka mencuci lantai selepas membakar sepanduk tetapi soal keselamatan yang boleh membahayakan pengunjung tamu minggu Gaya Street yang turut dihadiri pelancong.

Malah, katanya tindakan individu yang hampir terbakar dan membaling gelen berisi petrol juga boleh mengundang insiden lebih buruk.

“Akibat ‘stunt’ terdesak kumpulan ini, sehingga kini mereka dikecam teruk kerana kebiadapan dan mencemarkan imej seorang mahasiswa. Rasuah bukan budaya kita, namun ekstrimisme dan vandalisme juga bukan budaya kita,” katanya.

Razeef berkata, beliau pada mulanya menyokong usaha kumpulan mahasiswa itu melakukan demonstrasi bagi menuntut penyelesaian terhadap masalah bekalan air dan Gempur Rasuah serta Gempur Rasuah 2.0.

Malah, katanya di bawah kerajaan hari ini, pihak polis sendiri mengeluarkan kenyataan tiada halangan untuk mengadakan perarakan dan demonstrasi selagi mematuhi peraturan dan undang-undang.

“Namun sejak awal saya melihat cara kumpulan ini mencari momentum seperti tidak kena.

“Niat baik mereka sebenarnya mampu membawa rakyat Sabah untuk bersama mereka menyatakan rasa di atas jalan raya. Namun kempen yang bermodalkan sindiran, cacian dan makian melampau membuatkan rakyat Sabah merasa jelik dan ‘geli’ dengan cara kumpulan ini dan akhirnya tidak turut serta dengan himpunan ini,” katanya.

Jelasnya, ketika himpunan berlangsung pada hari Sabtu terdapat insiden kekasaran apabila ada peserta menaikkan sepanduk mendesak siasatan ketirisan RM1.5 bilion tetapi dikasari pendemonstrasi walaupun tujuan himpunan menentang rasuah dan ketirisan.

“Namun, pihak polis berjaya mengawal keadaan dan memastikan perarakan dilakukan dengan aman. Pada malam Sabtu pula pihak polis ditengking pendemonstrasi hanya kerana pegawai polis berkenaan ingin melihat dokumen pengenalan.

“Sebagai pihak berkuasa, pegawai polis mempunyai kuasa untuk melihat dokumen pengenalan mana-mana individu dan individu yang ingkar boleh diambil tindakan. Namun pegawai polis berkenaan tenang dan tidak termakan provokasi individu terbabit yang cuba meraih perhatian,” katanya. – Info X