Search

Balai bomba perlu dibina di Tongod – Masiung

September 19, 2024

Info X Reporters

TONGOD: Daerah ini memerlukan sebuah Balai Bomba dan Penyelamat bagi mempercepatkan tindakan jika berlaku kebakaran atau bencana alam.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuamut, Datuk Masiung Banah, berkata pembinaan kemudahan itu kini kian mendesak.

Katanya, balai bomba terdekat di Beluran dan Kinabatangan yang jaraknya terlalu jauh menyukarkan tindakan segera penyelamatan dilaksanakan.

“Prosuder penempatan balai bomba ternyata tidak relevan kerana nyawa dan harta benda rakyat jauh lebih penting,” katanya ketika melawat mangsa kebakaran di Kampung Seri Menanti, Penangah, kira-kira 30 kilometer dari sini, semalam.

Berikutan itu, Masing mahu Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) mengkaji semula prosedur zon kelayakan penempatan balai bomba kerana tidak membantu tindakan cepat dan efektif.

Masiung kesal bomba terpaksa mengambil masa hampir lima jam untuk sampai ke lokasi kejadian kebakaran yang memusnahkan 56 rumah di Kampung Seri Menanti, Penangah pada Ahad lalu.

Jelasnya, jarak antara Balai Bomba Kinabatangan dan Beluran dengan Tongod lebih 200 kilometer, selain bentuk muka bumi berbukit bukau menyukarkan operasi pasukan penyelamat itu.

Beliau yang juga Pengerusi Lembaga Pembangunan Perumahan dan Bandar Sabah (LPPB) mahu pegawai kanan KPKT turun padang memantau lokasi daerah Tongod yang lebih besar berbanding keluasan negeri Kedah.

Dalam insiden pada malam 15 September itu lalu, sebanyak 56 rumah musnah dijilat api menyebabkan 81 keluarga hilang tempat tinggal dan 303 penghuni tinggal sehalai sepinggang.

“Kejadian bermula jam 7 malam. Pada awalnya, kebakaran hanya melibatkan tiga rumah, namun api merebak menyebabkan 56 rumah turut musnah,” katanya.

Kesemua mangsa kini ditempatkan di dua dewan di Penangah yang dijadikan pusat pemindahan sementara (PPS) di bawah pengawasan Jabatan Perkhidmatan Kebajikan Am.

Terdahulu Masiung menghulurkan bantuan peribadi RM500 kepada 81 keluarga mangsa selain bantuan bahan makanan, alat mandian dan barangan pakai buang. – Info X