Search

Bangkai gajah Pygmy Borneo ditemui di Danum

September 27, 2025

Info X Reporters

LAHAD DATU: Bangkai seekor gajah pygmy Borneo betina ditemukan di kawasan Blok 57, FELCRA Berhad Estate Danum, di sini, pagi semalam.

Pengarah Jabatan Hidupan Liar Sabah, Mohd Soffian Abu Bakar, berkata hasil pemeriksaan awal tidak menemukan sebarang petunjuk jenayah hidupan liar seperti kesan tembakan, kelongsong peluru atau kecederaan luaran pada bangkai haiwan berkenaan.

Katanya, siasatan awal mendapati gajah itu mati di dalam kawasan Hutan Simpan Lembah Danum dan dipercayai sudah mati antara satu hingga dua hari lalu.

“Berdasarkan maklumat daripada pihak pengurusan FELCRA Estate Danum, bangkai berkenaan dijumpai oleh seorang mandur ladang ketika membuat rondaan kira-kira jam 10.20 pagi.

“Namun, punca kematian haiwan itu masih belum dapat dipastikan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurutnya, operasi lanjut bersama pasukan postmortem akan dijalankan esok bagi mengambil sampel dan melakukan analisis makmal.

“Gajah pygmy Borneo (Elephas maximus borneensis) betina itu dianggarkan mempunyai berat antara 600 hingga 1,200 kilogram dengan ketinggian sekitar 5.2 hingga 5.9 kaki.

“Kes berkenaan diklasifikasikan sebagai Refer to Other Agency (ROA) dan diserahkan kepada Jabatan Hidupan Liar Lahad Datu untuk tindakan lanjut,” katanya. – Info X