BEAUFORT: Khidmat Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) menjadi sandaran pelbagai pihak dalam memastikan urusan penting yang memerlukan keutamaan dapat diteruskan ketika berdepan bencana banjir.
Pada Khamis, khidmat anggota APM Beaufort ‘dipinjam’ bagi mengambil dan menghantar guru serta kertas peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Beaufort ke SMK Gadong.
Bantuan APM diperlukan bagi memastikan guru dan kertas peperiksaan itu sampai sebelum peperiksaan bermula ketika laluan ke SMK Gadong dinaiki air berikutan banjir yang melanda daerah ini.

Selain itu, anggota APM turut membantu beberapa pelajar STPM yang terkandas akibat banjir untuk menduduki kertas peperiksaan ulangan STPM di SMK Beaufort.
Pelajar terbabit, masing-masing dari Kampung Kota Klias, Kukut dan Lubak, di sini, memerlukan bantuan APM untuk mengharungi banjir yang menjejaskan laluan dari kampung masing-masing ke sekolah.
Pihak APM menggunakan lori trak yang mampu mengharungi laluan terjejas banjir untuk mengambil dan menghantar pelajar terbabit bagi menduduki peperiksaan STPM.
Sementara itu, khidmat APM turut dimanfaatkan beberapa jururawat dari Hospital Beaufort, di sini untuk mengambil dan menghantar mereka ke hospital setelah terkandas di jalan bypass Beaufort-Menumbok, di sini.

Khidmat itu dilaksanakan meskipun APM turut sibuk melaksanakan urusan pemindahan penduduk mangsa banjir ke Pusat Pemindahan Kekal (PPK) Selagon dan Pusat Pemindahan Sementara (PPS) berikutan banjir yang melanda daerah ini sejak Selasa.
Ia adalah kejadian banjir kedua dalam bulan ini yang menjejaskan ratusan penduduk kampung dari sekitar daerah ini.
Banjir berpunca daripada limpahan air Sungai Padas berikutan hujan berterusan di kawasan pedalaman sejak beberapa hari lalu. – Info X