Search

Banjir di Beaufort, Membakut semakin buruk

March 9, 2025

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Banjir di Beaufort dan Membakut semakin buruk dengan lebih 1,000 mangsa kini ditempatkan di dua pusat pemindahan sementara (PPS) dan sebuah pusat pemindahan kekal (PPK) setakat malam tadi.

Berdasarkan laporan Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sabah, jumlah tertinggi direkodkan di Beaufort dengan seramai 780 mangsa daripada 249 keluarga dipindahkan setakat ini.

Daripada jumlah itu, seramai 376 mangsa daripada 106 keluarga dipindahkan di PPK Selagon, manakala seramai 404 daripada 143 keluarga dipindahkan di PPS Dewan DSP Dun Banir.

Sementara itu, seramai 230 mangsa daripada 76 keluarga dipindahkan di Membakut dengan sebuah PPS dibuka setakat ini di Dewan Kesenian Islam Membakut.

Anggota bomba membantu memindahkan mangsa banjir di Beaufort.

Secara keseluruhan, seramai 1,010 mangsa daripada 325 keluarga dipindahkan di kedua-dua daerah setakat jam 9 malam ini, berbanding seramai 522 mangsa daripada 154 keluarga direkodkan jam 4 petang tadi.

Sekretariat JPBN Sabah melaporkan situasi banjir di kedua-dua daerah masih pada tahap meningkat dengan masing-masing 10 kampung di Beaufort dan Membakut terjejas teruk setakat ini.

Banjir melanda kedua-dua daerah sejak semalam berikutan hujan lebat berterusan di kawasan pedalaman yang menyebabkan air Sungai Padas di Beaufort dan Sungai Membakut di daerah Membakut meningkat ke paras bahaya hingga melimpahi tebing.

Ia banjir kedua melanda kedua-dua daerah pada tahun ini selepas kejadian pertama pada awal Februari lalu, namun jumlah mangsa yang dipindahkan kali ini sekali ganda lebih ramai berbanding banjir terdahulu. – Info X