Search

Banjir di Beaufort semakin pulih

September 26, 2023

Info X Reporters

BEAUFORT: Mangsa banjir yang ditempatkan di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Selagon, di sini, berkurang kepada 134 orang setakat jam 8 pagi tadi.

Berdasarkan laporan Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) daerah, jumlah itu membabitkan 46 keluarga dari lima kampung iaitu Kampung Suasa, Bakalau, Bangkalalak, Lago dan Berumbai.

Seramai 90 mangsa daripada 224 mangsa banjir dibenarkan pulang petang semalam, kebanyakannya dari Kampung Bakalau setelah situasi banjir di kampung terbabit semakin pulih.

Sebahagian mangsa banjir yang ditempatkan di PPS Selagon, Beaufort dihantar pulang dengan bantuan APM) dan JBPM) setelah keadaan banjir mulai pulih. – Foto/APM

Hanya di kampung bahagian hilir Sungai Padas dilaporkan masih ditenggelami banjir setakat semalam, antaranya Kampung Suasa, Bangkalalak, Beringin dan Lawa.

Banjir melanda kebanyakan kampung di kawasan rendah sekitar daerah ini bemula Khamis lalu termasuk beberapa laluan sekitar pekan Beaufort berikutan limpahan air Sungai Padas berpunca daripada hujan lebat berterusan di kawasan hulu di zon pedalaman pada minggu lalu.

PPS Selagon diaktifkan sejak Jumaat lalu selepas keadaan banjir bertambah buruk terutama kampung di sekitar kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Lumadan. – Info X