Search

Banjir di Labuan, lapan mangsa dipindahkan

August 12, 2024

Info X Reporters

LABUAN: Seramai lapan mangsa daripada dua keluarga dipindahkan ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di sini, susulan banjir disebabkan hujan lebat berterusan sejak malam tadi.

Antara Kampung yang terjejas banjir iaitu Kampung Gersik, Kampung Buton dan Kampung Sungai Miri.

Pasukan bomba memindahkan mangsa banjir di Labuan.

Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) Labuan menerusi kenyataan media hari ini memaklumkan penduduk kampung yang terjejas mengalami kerosakan harta benda selepas ditenggelami air.

“Susulan kejadian itu, PPS Dewan Balai Bomba Rancha-Rancha dibuka bagi penempatan mangsa banjir.

“Ketika ini, dua Keluarga Isi Rumah (KIR) membabitkan lapan mangsa di Kampung Gersik dipindahkan di PPS Rancha-Rancha,” katanya.

Hujan berterusan menyebabkan beberapa kawasan di Labuan dilanda banjir, malam tadi.

Selain itu, katanya terdapat juga kejadian tanah runtuh dan menimpa struktur rumah kediaman penduduk terbabit. – Info X