Search

Banjir Penampang: Mangsa banjir dipindahkan ke PPS bakal menerima bantuan tunai RM1,000 – Ketua Menteri

July 1, 2024

Info X Reporters

PENAMPANG: Mangsa banjir di daerah ini yang dipindahkan di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Dewan Pusat Kebudayaan Sabah, di sini bakal menerima bantuan tunai kecemasan sebanyak RM1,000.

Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor, berkata kerajaan negeri juga akan membantu penduduk yang rumah mereka rosak akibat banjir, termasuk yang tidak dipindahkan ke PPS.

“Kerajaan negeri bersimpati terhadap kesusahan yang dihadapi mangsa, jadi kita bersedia untuk memberikan bantuan tunai kecemasan sebanyak RM1,000 kepada setiap keluarga yang dipindahkan ke PPS.

“Kerajaan persekutuan melalui Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ewon Benedick yang juga Ahli Parlimen Penampang juga akan membantu.

“Pada masa sama, kerajaan negeri juga akan menimbangkan untuk membantu mereka yang tidak dipindahkan ke PPS tetapi rumah mereka rosak teruk akibat banjir,” katanya ketika melawat mangsa banjir di Dewan Pusat Kebudayaan Sabah, Penampang, di sini, petang ini.

PPS berkenaan yang dibuka sejak jam 5.25 petang semalam setakat ini menempatkan seramai 165 mangsa daripada 67 keluarga yang dipindahkan dari beberapa kampung berhampiran.

Hajiji melawat mangsa banjir di Pusat Kebudayaan Sabah, Penampang.

Yang turut hadir ialah Ewon; Setiausaha Kerajaan Negeri Sabah, Datuk Seri Safar Untong; Pembantu Menteri Kerja Raya negeri, Datuk Limus Jury dan Setiausaha Penyelidikan dan Hal Ehwal Dalam Negeri Sabah, Datuk Awang Shaminan Sahari.

Sementara itu, Hajiji mengarahkan semua pihak berkuasa tempatan (PBT) di negeri ini bersiap siaga menghadapi kemungkinan banjir di kawasan masing-masing berikutan musim hujan ketika ini.

“Pastikan semua parit dibersihkan, jangan tunggu sehingga sudah hujan baru bertindak. Kita mahu mencegah dan mesti bersedia sepanjang masa,” katanya.

Hajiji meninjau kawasan terjejas banjir di Kampung Hungab, Penampang.

Katanya, kerajaan negeri dan persekutuan sangat mengambil berat nasib penduduk yang terjejas akibat banjir.

Selain melawat mangsa di PPS, Hajiji turut meninjau beberapa lokasi dilanda banjir di daerah ini, antaranya di Kampung Tuavon dan Hungab, di sini.

Berdasarkan taklimat Pegawai Daerah Penampang, Francis Chong, sebanyak 11 kampung di daerah ini ditenggelami banjir disebabkan hujan lebat berterusan yang bermula pada tengah hari semalam. – Info X