Search

Bantuan segera disalur kepada Hospital Papar

November 12, 2024

Info X Reporters

PAPAR: Beberapa bantuan segera disalurkan kepada Hospital Papar selepas insiden kebakaran yang memusnah stor farmasi hospital itu, di sini, malam tadi.

Ahli Parlimen Papar, Datuk Armizan Mohd Ali, berkata beliau sudah mengarahkan kakitangan di pejabat Parlimennya turun membantu sejurus menerima berita itu.

Beliau berkata kakitangan di Pejabat Parlimen Papar akan terus membantu situasi di hospital itu, termasuk menyediakan makanan kepada pesakit memandangkan dapur hospital turut terjejas dalam kebakaran itu.

Situasi di pekarangan Hospital Papar berikutan insiden kebakaran malam tadi.

“Sekitar jam 7.10 malam tadi saya dikhabarkan dengan insiden kebakaran yang berlaku di stor perubatan farmasi Hospital Papar.

“Sejurus mendapat pemakluman, saya terus menugaskan kakitangan Parlimen Papar untuk bergegas turun padang membantu mangsa-mangsa yang terlibat.

“Buat masa ini, khemah sementara telah didirikan untuk menempatkan pesakit dan kakitangan hospital yang terkesan dan makanan serta minuman juga diberikan,” katanya menerusi perkongsian di laman Facebook beliau.

Insiden kebakaran di hospital itu dilaporkan bermula pada kira-kira jam 7 malam tadi sebelum 15 anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Papar dan BBP Kimanis dikejarkan segera bagi melaksanakan operasi pemadaman.

ADUN Kawang antara yang turun memantau situasi di Hospital Papar.

Armizan yang menghadiri persidangan Parlimen semalam, berkata kebakaran dilaporkan berjaya dipadam pada jam 11 malam tadi, namun punca kebakaran masih dalam siasatan.

“Syukur tiada sebarang kemalangan jiwa berlaku dan pesakit terkesan juga sudah dipindahkan ke wad lain,” katanya.

Katanya, bermula hari ini, Pejabat Parlimen Papar akan membantu membekalkan makanan dan minuman kepada pesakit sehingga pihak hospital dapat menyediakan makanan melalui pihak pembekal luar.

Kakitangan Pejabat Parlimen Papar memsang khemah untuk kegunaan pesakit dan petugaa Hospital Papar.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kawang, Datuk Ghulam Haidar Khan Bahadar turut meninjau keadaan di hospital itu sejurus insiden berkenaan. – Info X