Search

Bapa penghidap kanser kanak-kanak rayu bantuan tunaikan hajat terakhir anak

June 26, 2026

Info X Reporters

RANAU: “Kami sudah berjuang sedaya upaya, tetapi kini kami benar-benar buntu.”

Itu luahan hati Brendon Salion, seorang bapa yang kini merayu bantuan orang ramai bagi menunaikan hajat terakhir anak perempuannya, Mikasa Elle Brendon, 6, yang disahkan menghidap kanser neuroblastoma tahap empat sejak 2023.

Menurut Brendon, pelbagai ikhtiar sudah dilakukan sepanjang hampir tiga tahun anaknya menjalani rawatan, namun beban kewangan yang semakin menghimpit menyebabkan mereka terpaksa mengetepikan rasa malu demi mendapatkan bantuan.

Katanya, sepanjang tempoh rawatan, mereka kehilangan punca pendapatan tetap, kenderaan, tempat tinggal dan beberapa aset lain yang sebelum ini digunakan bagi menampung kos rawatan Mikasa.

“Sebagai ibu bapa, kami sudah cuba buat yang terbaik dan bertahan selama ini. Tetapi mungkin perjuangan kami sudah sampai di titik paling sukar.

“Saya kini bekerja sebagai buruh binaan dengan pendapatan tidak menentu kerana perlu berulang-alik menghantar anak ke hospital yang terletak kira-kira 144 kilometer dari rumah, manakala isteri menjaga bayi kami yang baru berusia tiga bulan serta anak-anak lain yang masih bersekolah,” katanya.

Menurut Brendon, kos rawatan, perjalanan ke hospital, keperluan perubatan, susu, lampin pakai buang, perbelanjaan harian dan persekolahan anak-anak lain semakin menekan kehidupan keluarga mereka.

Lebih menyentuh hati, katanya, Mikasa kini hanya menyimpan impian yang cukup sederhana, iaitu mengunjungi beberapa tempat kegemarannya, menikmati makanan yang disukai serta memiliki beberapa permainan yang diinginkan sebelum keadaan kesihatannya semakin merosot.

“Kami tidak meminta lebih. Kami hanya berharap sempat menunaikan hasrat terakhirnya dan melihat dia tersenyum.

“Jika ada yang sudi membantu walaupun sedikit, kami akan sangat menghargainya. Saya hanya mahu anak saya merasai sedikit kegembiraan dalam waktu yang masih ada,” katanya.

Beliau berkata, keluarga terdekat sudah membantu sedaya mampu, namun masing-masing turut mempunyai komitmen sendiri.

Orang ramai yang ingin membantu boleh menghubungi Brendon Salion di talian 017-8288993 untuk mendapatkan maklumat lanjut atau menyalurkan sumbangan secara terus kepada keluarga.

Orang ramai yang ingin menghulurkan sumbangan boleh juga menyalurkannya ke akaun CIMB Bank 7652453214 atas nama Brendon Salion atau menghubungi beliau di talian 017-8288993 untuk mendapatkan maklumat lanjut.

Sumbangan keperluan asas juga boleh dihantar terus ke kediaman keluarga di Kampung Maukab Baru, 89308 Ranau, iaitu di gerai berdinding zink di tepi jalan utama berhampiran simpang Tomporog dan bersebelahan sebuah pusat cuci kereta. – Info X