KOTA KINABALU: Baru dua bulan menjalani kursus Pasukan Tindak Balas Kecemasan (ERT), kakitangan sebuah hotel di bandar raya ini berjaya membuktikan keberkesanan latihan diterima apabila bertindak pantas memadam kebakaran membabitkan lima unit kompresor penghawa dingin, hari ini.
Kejadian berlaku di tingkat 24 sebuah hotel di Jalan Gaya, di sini, dan tindakan awal pasukan ERT hotel berjaya mengawal serta memadamkan kebakaran sepenuhnya sebelum ketibaan pasukan bomba.
Pegawai Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Kinabalu, PPgB Mohd Hannis Mokhtar berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada 3.29 petang.
Menurutnya, seramai 13 anggota bersama jentera Fire Rescue Tender (FRT), Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) dan kenderaan utiliti digerakkan ke lokasi sejauh 4.2 kilometer.
“Pasukan bomba tiba pada 3.53 petang dan mendapati kebakaran membabitkan lima unit kompresor penghawa dingin yang terletak di tingkat 24 hotel berkenaan.
“Bagaimanapun, kebakaran sudah berjaya dipadamkan sepenuhnya oleh pasukan ERT hotel sebelum ketibaan anggota bomba,” katanya ketika dihubungi.

Difahamkan, pasukan ERT hotel berkenaan baru kira-kira dua bulan menjalani kursus dan latihan berkaitan tindak balas kecemasan.
Latihan berkenaan ternyata memberi impak apabila mereka mampu bertindak pantas ketika berdepan situasi sebenar sekali gus membantu mengelakkan kebakaran daripada merebak ke bahagian lain bangunan.
Mohd Hannis berkata, sebaik tiba, pasukan bomba menjalankan pemeriksaan dan kerja ‘overhaul’ di kawasan terbabit bagi memastikan tiada saki-baki api yang boleh mencetuskan kebakaran semula.
Katanya, pemeriksaan lanjut turut dilakukan bagi memastikan kebakaran tidak merebak serta keseluruhan kawasan terlibat berada dalam keadaan selamat.
“Tiada mangsa dilaporkan terbabit dalam kejadian ini dan operasi berjaya dikawal pada 3.56 petang.
“Selepas memastikan tiada lagi keberbahayaan di lokasi, operasi ditamatkan sepenuhnya pada 4.20 petang,” katanya.

Operasi membabitkan 13 anggota BBP Kota Kinabalu diketuai PBK I Masri Gari dengan turut mendapat kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Kejadian itu sekali gus menunjukkan kepentingan penubuhan dan latihan berterusan pasukan ERT di premis khususnya bangunan bertingkat serta hotel bagi memastikan tindakan awal dapat dilakukan sementara menunggu ketibaan pasukan penyelamat. – Info X