Search

Bas ekspres terbabas, enam termasuk pemandu cedera

June 21, 2024

Info X Reporters

LAHAD DATU: Enam penumpang termasuk pemandu cedera apabila bas ekspres terbabas lalu jatuh ke gaung sedalam 50 meter di Batu 9, Jalan Silam, di sini, malam tadi.

Pegawai Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah, Penolong Penguasa Bomba, Riki Mohan Singh Ramday berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada jam 9.24 malam.

Katanya, sepasukan anggota bomba bersama jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lahad Datu diketuai Pegawai Bomba Kanan II, Suait Mohammad digerakkan ke lokasi kejadian.

“Menurut laporan kemalangan membabitkan sebuah bas ekspres hilang kawalan lalu jatuh ke gaung sedalam 50 meter.

“Setibanya pasukan bomba di lokasi kejadian, seramai 13 penumpang termasuk dua pelancong asing telah keluar sendiri dari bas berkenaan,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Pasukan bomba membawa keluar penumpang yang cedera selepas bas ekspres terbabas lalu jatuh ke gaung di Batu 9, Jalan Silam, Lahad Datu. – Bomba

Menurutnya, terdapat enam mangsa termasuk pemandu berjaya dikeluarkan oleh pasukan bomba di lokasi kejadian.

“Semua mangsa yang cedera diserahkan kepada pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan diberi rawatan awal di lokasi kejadian.

“Seterusnya semua mangsa dihantar ke hospital dengan menaiki ambulans dan jentera Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) bagi mendapatkan rawatan lanjut,” katanya.

Katanya lagi, selepas memastikan tiada lagi bahaya lain di lokasi kejadian, operasi ditamatkan pada jam 11.30 malam. – Info X