Search

Bas persiaran terbabas, 6 pelancong cedera, pemandu parah

January 26, 2025

Info X Reporters

SANDAKAN: Tujuh cedera termasuk enam pelancong dari China apabila bas persiaran dinaiki mereka terbabas di hadapan sebuah pasar raya di Jalan Sibuga, di sini, pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 9 pagi itu, pemandu bas terbabit yang berusia 63 tahun dilaporkan parah, sebelum ketujuh-tujuh mangsa dikejarkan ke Hospital Duchess Of Kent (HDOK) untuk rawatan lanjut.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sandakan, Penolong Kanan Penguasa Bomba, Severinus@Mohd Nidzam berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 9.15 pagi.

Katanya, sepasukan anggota bersama jentera dan Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) digerakkan ke lokasi kejadian.

“Setiba di lokasi mendapati kemalangan membabitkan sebuah bas persiaran membawa pelancong dari China seramai 17 orang terdiri daripada 13 dewasa manakala empat kanak-kanak.

“Enam pelancong cedera manakala pemandu parah dan semua mangsa dihantar ke HDOK oleh orang awam sebelum jentera bomba tiba di lokasi kejadian,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurutnya, pasukan bomba bertindak menjalankan operasi membersihkan tumpahan minyak di lokasi kejadian.

“Selepas memastikan keadaan selamat, operasi ditamatkan pada 10.42 pagi,” katanya.

Sepasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) turut berada di lokasi kemalangan. – Info X