PAPAR: Seorang lelaki maut selepas basikal yang ditungganginya dirempuh sebuah motosikal dalam kemalangan di Kilometer 5, Jalan Baru Papar-Kota Kinabalu, di sini, malam tadi.
Dalam kejadian kira-kira jam 9.30 malam itu, mangsa berusia 22 tahun dikatakan menunggang basikal jenis XDS dan sedang menyeberang jalan menuju ke Sri Tanjung, Kampung Pengalat Kecil sebelum dirempuh sebuah motosikal jenis Yamaha Y16 dari arah Kota Kinabalu ke Papar.
Ketua Polis Daerah Papar, Superintendan Kamaruddin Ambo Sakka berkata, penunggang motosikal berusia 29 tahun itu tidak sempat mengelak lalu merempuh bahagian tepi belakang basikal berkenaan.
“Impak pelanggaran menyebabkan mangsa melambung ke bahu jalan manakala basikalnya pula tergantung di atas pokok.
“Mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pegawai perubatan dari Hospital Papar,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Menurutnya, penunggang motosikal terbabit mengalami kecederaan di bahagian kepala dan muka sebelum dihantar ke Hospital Papar untuk rawatan lanjut.
“Mayat mangsa pula dibawa ke Unit Forensik Hospital Papar untuk proses bedah siasat.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya. – Info X