KOTA KINABALU: Sabah merekodkan satu kematian akibat penyakit Pertussis ataupun batuk kokol sepanjang Januari hingga 27 April tahun ini.
Jumlah itu adalah daripada 76 kes yang dicatatkan di negeri ini yang menyaksikan peningkatan sebanyak 986 peratus berbanding minggu epidemologi yang sama pada tahun lepas iaitu hanya tujuh kes.
Menteri Kesihatan, Dr Zaliha Mustafa berkata, seramai 41 orang yang menghidap penyakit terbabit merupakan rakyat Malaysia manakala selebihnya warga negara asing daripada Filipina dan Indonesia.
“Jumlah kes yang kita dapati adalah sebanyak 76 kes dan menunjukkan peningkatan kes sebanyak 986 peratus berbanding minggu epidemologi yang sama pada tahun lepas…Ada 7 kes pada tahun lepas.
“Pecahan kes ini mengikut warganegara yang telah kita kenal pasti ada 41 orang rakyat Malaysia yang mengidapnya, 27 kes adalah kes daripada Filipina dan lapan kes lagi daripada rakyat Indonesia.
“Daripada jumlah itu, kita hanya berdepan satu kes kematian ataupun fataliti,” katanya dalam sidang media, di sini, hari ini.
Sementara itu, Zaliha turut mengingatkan orang awam terutama kanak-kanak dan ibu bapa yang mempunyai gejala berkaitan batuk kokol agar segera ke klinik ataupun hospital untuk mendapatkan rawatan awal serta pemantauan daripada petugas kesihatan.
“Kalau ada kanak-kanak atau ibu bapa mempunyai gejala seperti itu tolong bawa ke hospital berjumpa doktor ataupun klinik berdekatan supaya kita dapat pantau dan lihat sama ada betulkah kes itu perlu rawatan lebih lanjut ataupun mungkin hanya sebagai penyakit batuk biasa sahaja.
“Jadi kalau rawatan yang seterusnya kita perlu rawat di hospital maka rawat di hospital,” katanya.
Untuk rekod, Kota Kinabalu mencatatkan rekod tertinggi kes batuk kokol iaitu sebanyak 20 kes, diikuti Lahad Datu (16), Tawau (15), dan Putatan (8).
Daerah lain yang turut terlibat ialah Semporna (4), Papar (4), Kunak (3), Tambunan (3) Kinabatangan (1), Tuaran (1), dan Sandakan (1). – Info X