Search

Bau busuk bongkar penemuan mayat warga emas

May 30, 2025

Info X Reporters

PAPAR: Bau busuk dihidu jiran membawa kepada penemuan mayat seorang lelaki warga emas yang tinggal bersendirian di Melinsung Summer Bay, Apartmen, di sini, semalam.

Mayat lelaki berusia 68 tahun itu ditemui pada jam 9.10 malam sebaik pintu rumahnya dibuka pasukan bomba dengan menggunakan peralatan khas.

Ketua Polis Daerah Papar, Superintendan Kamaruddin Ambo Sakka berkata, pihak menerima panggilan daripada orang awam yang mengatakan terhidu bau busuk dari rumah mangsa dan mengesyaki sesuatu mencurigakan.

“Sebaik tiba di lokasi mendapati pintu rumah mangsa masih dalam keadaan terkunci. Pasukan bomba yang hadir kemudian membuka pintu rumah mangsa.

“Selepas pintu rumah mangsa berjaya dibuka, mangsa ditemui terbaring di salah sebuah bilik di rumah berkenaan,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Menurutnya, siasatan awal mendapati mangsa tinggal bersendirian di rumah berkenaan.

“Pemeriksaan pada mayat mangsa di tempat kejadian mendapati tiada unsur jenayah atau khianat.

“Mayat mangsa dibawa ke Unit Perubatan Forensik Hospital Papar. Usaha mengesan ahli keluarga mangsa masih diteruskan,” katanya.

Katanya lagi, siasatan masih dijalankan dan kes diklasifikasiksn sebagai laporan mati mengejut (SDR). – Info X