SEMPORNA: Presiden Warisan, Datuk Seri Shafie Apdal menyeru kerajaan supaya membawa kes tuntutan kumpulan Sulu ke Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) bagi menyelesaikan perkara tersebut secara tuntas.
Shafie yang juga Ahli Parlimen Semporna berkata, kerajaan perlu mengambil langkah yang tegas bagi menghentikan pihak yang mendakwa waris kesultanan Sulu menuntut negeri ini.
Katanya, tuntutan itu akan terus berlarutan sekiranya kerajaan masih berlembut atau tidak membawa perkara tersebut ke ICJ.
“Saya sudah cadangkan di peringkat awal supaya perkara ini dibawa ke ICJ kerana kalau kita lihat dalam Kongres Parlimen Filipina, mereka tidak gugurkan tuntutan terhadap Sabah.
“Walhal tuntutan itu tidak ada asasnya kerana yang menuntut pun sebenarnya bukan keturunan kesultanan Sulu,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam Majlis Alumni Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Datuk Panglima Abdullah, di sini, pada Sabtu.
Menurutnya, sekiranya perkara itu dibawa ke ICJ, Sabah akan mendapat keadilan sewajarnya kerana Malaysia adalah negara berdaulat yang diiktiraf.
“Saya bimbang kerana belanja duit untuk peguam dan memakan masa yang panjang untuk mengurus tuntutan tersebut yang tidak berkesudahan.
“Keadaan ini perlu kita tamatkan dengan segera dan sebaik mungkin seperti yang pernah dibuat ketika berlaku tuntutan ke atas Pulau Ligitan dan Sipadan,” katanya.
Mengenai majlis tersebut, Shafie berkata, sekolah ini banyak melahirkan individu yang berjaya dan dapat menyumbang sesuatu kepada negara.
“Saya sangat berbangga dengan pencapaian sekolah ini kerana selama 60 tahun ia telah melahirkan pemimpin, ketua pengarah, doktor dan ramai lagi golongan profesional di negara ini.
“Walaupun sekolah ini jauh daripada bandar serta kurang kemudahan, tetapi pencapaiannya agar luar biasa dan mampu menyaingi sekolah-sekolah yang berada di kawasan bandar,” katanya. – Info X