Search

Bawa pisau di tempat awam, lelaki dipenjara 5 tahun

October 19, 2023

Info X Reporters

TAWAU: Seorang lelaki tempatan dijatuhkan hukuman penjara lima tahun oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini, selepas dia mengaku memiliki pisau di tempat awam tanpa kebenaran.

Tertuduh, Yuslam Cassidy, 22, membuat pengakuan itu di hadapan Majistret Don Stiwin Malanjun selepas pertuduhan dibacakan.

Menurut pertuduhan, tertuduh melakukan perbuatan itu pada 11 September lepas kira-kita jam 5.44 petang di kawasan Blok 9, Kampung Titingan, Jalan Tawau Lama.

Tertuduh didapati memiliki senjata berjadual iaitu sebilah pisau yang diselit di pinggang dan tidak mempunyai kebenaran sah dari pihak berkuasa di tempat awam tanpa sebarang sebab munasabah.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 6(1) Akta Bahan-Bahan Kakisan, Letupan dan Senjata Berbahaya 1958 yang memperuntuk hukuman penjara tidak kurang lima tahun dan tidak lebih 10 tahun.

Mahkamah memerintahkan tertuduh menjalani hukuman bermula tarikh tangkapan iaitu pada 11 September lalu.

Kes pendakwaan dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau, Asisten Superintenden Nur Intan Jamrin, manakala tertuduh tidak diwakili peguam. – Info X