KOTA KINABALU: Kerajaan Pusat dicadang supaya mengira dan membayar kelayakan perlembagaan Sabah terhadap 40 peratus hasil bersih dikutip Persekutuan di negeri ini bermula tahun ini dan seterusnya.
Mencadangkan perkara itu, Presiden Parti Solidariti Tanah Airku (STAR), Datuk Dr Jeffrey Kitingan, berkata bagi kelayakan untuk ‘tahun yang hilang’ dari 1974 hingga 2021, ia boleh dibincang dan dirunding berasingan di antara kerajaan negeri dan Persekutuan.
“Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sekarang mempunyai peluang keemasan untuk menjadikan kemahuan politik dan keperluan kepimpinan bagi membuat bayaran kelayakan persekutuan 40 peratus Sabah satu realiti.
“Menunaikan bayaran ini bukan hanya memenuhi kewajipan perlembagaan tetapi juga menyediakan Sabah dengan sumber kewangan diperlukan untuk memperbaiki infrastruktur asas, membasmi kemiskinan, merangsang pertumbuhan ekonomi dan meningkatkan kesejahteraan keseluruhan rakyat.
“Pada masa sama, Sabah akan menyumbang kepada kestabilan ekonomi nasional,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.
Ahli Parlimen Keningau itu berkata, keutamaan segera adalah untuk menghentikan kelayakan tidak berbayar daripada terus terkumpul dan mewujudkan mekanisme pengiraan kelayakan 40 peratus Sabah secara telus dan jelas.
Katanya, Belanjawan 2027 tidak boleh mengulangi kaedah peruntukan yang dilaksanakan pada masa lalu yang disifatkannya tidak adil kepada Sabah dan Sarawak.
“Ia seharusnya menandakan permulaan dasar pembangunan Persekutuan yang adil dan mengiktiraf Sabah dan Sarawak sebagai rakan setara dalam Persekutuan serta membolehkan kedua-dua wilayah menikmati pembangunan yang seimbang dengan Malaya,” katanya.
Jeffrey berkata, membetulkan ketidakseimbangan wilayah bukan setakat satu soalan mengenai dana, sebaliknya ia satu perkara berkaitan tanggungjawab perlembagaan, keadilan serta kestabilan dan kemakmuran masa depan Malaysia.
Dalam kenyataan itu, Jeffrey menggesa supaya Belanjawan 2027 dijadikan titik permulaan untuk membetulkan ketidakseimbangan pembangunan di antara Semenanjung dengan Sabah dan Sarawak yang sudah sekian lama berlarutan.
Beliau berkata selama berdekad peruntukan pembangunan Persekutuan tertumpu di Semenanjung dengan anggaran 86 hingga 87 peratus, manakala Sabah dan Sarawak hanya menerima kira-kira 15 peratus setahun.
Katanya, formula agihan itu tidak menggambarkan saiz geografi, keperluan infrastruktur, ketinggalan pembangunan dan potensi ekonomi Sabah serta Sarawak.
“Perlu diingatkan bahawa Sabah dan Sarawak dipujuk untuk membentuk Persekutuan Malaysia berasaskan salah satu janji bahawa Sabah dan Sarawak akan dibangunkan setanding dengan Semenanjung.
“Malangnya, ini gagal dijadikan kenyataan dan Sabah mungkin ketinggalan 30 hingga 40 tahun di belakang Malaya dari segi pembangunan,” katanya.
Bekas Timbalan Ketua Menteri itu menegaskan Kerajaan Persekutuan tidak boleh berterusan melayan Sabah dan Sarawak masing-masing sebagai satu unit dibandingkan dengan Malaya dengan 11 negeri sebagai 11 unit.
Pendekatan itu, katanya mengabaikan kedudukan istimewa negeri Borneo dalam Perlembagaan dan keadaan yang membawa kepada pembentukannya pada 1963.
“Sabah mempunyai lima Residensi dan 30 daerah serta daerah kecil, dengan ada antaranya lebih besar berbanding negeri di Malaya. Keningau contohnya lebih besar berbanding gabungan luas Pulau Pinang, Melaka dan Perlis,” katanya.
ADUN Tambunan itu berkata Sabah kekal negeri termiskin di Malaysia dengan lapan daripada 10 daerah termiskin di negara ini terletak di negeri ini.
Katanya, Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) perkapita Sabah kurang separuh daripada purata nasional dengan sedikit dilakukan untuk menangani kemiskinan luar bandar dan kekurangan kemudahan asas, selain masih ramai bergantung kepada air graviti yang tidak dirawat.
“Realiti ini menunjukkan formula peruntukan pembangunan sedia ada gagal untuk menutup jurang pembangunan wilayah.
“Sabah dan Sarawak mesti menerima perkongsian yang adil dan lebih saksama daripada dana pembangunan Persekutuan bermula pada Belanjawan 2027 dan seterusnya.
“Peruntukan mesti mengambil kira saiz geografi, populasi, keperluan pembangunan, defisit infrastruktur dan sumbangan kepada ekonomi nasional.
“Ini perlu bagi membolehkan kedua negeri Borneo membangun mengikut potensi yang betul dan mengejar negeri di Malaya yang sudah di hadapan dari segi pembangunan,” katanya.
Sebagai alternatif terhadap keadaan tidak seimbang itu, katanya kerajaan Persekutuan perlu mula membayar kelayakan 40 peratus Sabah pada tahun ini. – Info X