KOTA KINABALU: Baki pemberian khas interim sebanyak RM900 juta kepada Sabah yang belum dibayar kerajaan Persekutuan kepada kerajaan negeri mesti ditunaikan sebelum persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Disember depan.
Perkara itu disuarakan Pakatan Harapan (PH) Sabah sebagai usaha untuk memastikan wang berkenaan dapat dimasukkan ke dalam akaun hasil kerajaan negeri bagi melaksanakan program yang dirancang pada tahun depan.
Pengerusinya, Datuk Mustapha Sakmud, berkata beliau sendiri menyampaikan perkara itu kepada Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Kementerian Kewangan supaya mempercepatkan pewartaan bayaran pemberian khas berkenaan.
“Kita mahu bayaran pemberian khas interim berkaitan hak 40 peratus Sabah yang ditingkatkan kepada RM1.5 bilion dengan sebanyak RM600 juta sudah diwartakan, dibayar sepenuhnya menerusi pewartaan baki RM900 juta lagi.
“Ini jumlah yang belum diwarta dan kita mahu pembayaran dibuat sebelum sidang DUN pada Disember depan.
“Saya sendiri sampaikan perkara ini kepada Ketua Setiausaha Perbendaharaan untuk melunaskan segera supaya boleh dimasuk dalam hasil negeri tahun depan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat PH Sabah, di sini, pada Jumaat.
Mesyuarat itu turut dihadiri Pengerusi AMANAH Sabah, Datuk Lahirul Latigu; Timbalan Pengerusi DAP Sabah, Datuk Chan Foong Hin dan Setiausaha PH Sabah, Datuk Ruji Ubi.
Mustapha yang juga Pengerusi PKR Sabah, berkata isu bayaran baki pemberian khas adalah antara perkara utama yang dibincangkan pada mesyuarat pertama PH Sabah itu selepas Mesyuarat Agung Tahunan gabungan itu pada Jun lalu.
Di bawah perkara sama, katanya PH Sabah juga mahu supaya bayaran pemberian khas kepada Sabah selepas ini dibuat secara progresif, berbanding jumlah yang mendatar ketika ini.
“Kita cadangkan untuk perundingan akan datang, apabila sampai kepada jumlah tertentu yang saya fikir akan meningkat, kita mahu pembayaran itu mesti dibuat secara progresif, berbanding sekarang ini mendatar.
“Kita cadangkan mulai tahun depan ada nilai progresif interim, maknanya setiap tahun meningkat berdasarkan nilai hasil agensi Persekutuan di Sabah.
“Kita mahu kerajaan negeri berunding dengan kerajaan Pusat mengenai nilai yang dipersetujui bersama sehingga kita dapat nilai sebenar hak kelayakan 40 peratus hasil Sabah,” katanya.
Sementara itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Sabah dan Sarawak) itu, berkata mesyuarat PH Sabah turut membincangkan perkembangan isu penambahan kerusi Parlimen Sabah dan Sarawak selaras Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
Katanya, PH Sabah mahu pindaan Perlembagaan Persekutuan dilaksanakan pada persidangan Parlimen tahun depan sejajar proses penambahan kerusi yang memerlukan tindakan berkenaan dilaksanakan terlebih dahulu.
“Memang prosesnya perlu pinda Perlembagaan, jadi PH Sabah mahu Perkara 46 dipinda pada sidang Parlimen akan datang untuk memberi kuasa kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) membuat kajian persempadanan pilihan raya.
“Saya sendiri sudah bertemu dengan Pengerusi SPR dan memang ia ada memberi pandangan, tapi kita kena laksanakan ini untuk memastikan suara rakyat Sabah dan Sarawak yang cukup di Parlimen. Sebab ini penting untuk menjaga kedaulatan negara,” katanya.
Katanya, berdasarkan semangat MA63, satu pertiga kerusi Parlimen mesti diberi kepada Sabah, Sarawak dan Singapura ketika awal pembentukan Malaysia pada 1963, dan perlu diteruskan selepas ketiadaan Singapura menerusi tambahan kerusi di Sabah dan Sarawak.-Info X