Search

Bayi lelaki baru lahir ditemukan di Taman Awam Teluk Likas

December 21, 2025

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Bayi lelaki cukup sifat dipercayai baru dilahirkan ditemukan dalam keadaan masih bernyawa di kawasan Taman Awam Teluk Likas, di sini, pagi semalam.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Kasim Muda berkata, pihaknya menerima maklumat mengenai penemuan bayi itu kira-kira jam 6.30 pagi hasil panggilan telefon daripada orang awam.

“Siasatan awal mendapati bayi berkenaan dipercayai baru dilahirkan beberapa jam sebelum ditemui dan berada dalam keadaan selamat tanpa sebarang kecederaan.

“Bayi itu segera dibawa ke Hospital Likas oleh pihak ambulans untuk mendapatkan rawatan serta pemeriksaan lanjut,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Beliau berkata, pemeriksaan di lokasi kejadian tidak menemukan sebarang saksi mata yang melihat kejadian itu, selain kawasan berkenaan juga tidak dilengkapi kemudahan kamera litar tertutup (CCTV).

“Polis sedang menjalankan siasatan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 317 Kanun Keseksaan.

“Pada masa sama, Jabatan Kebajikan Masyarakat turut dimaklumkan bagi tindakan susulan berkaitan kebajikan bayi berkenaan,” katanya.

Sehubungan itu, Kasim berkata polis memohon kerjasama orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian supaya tampil membantu siasatan dengan menghubungi balai polis berhampiran atau Pegawai Penyiasat, SM Rosmah Pg Hasim di talian 011-316 7612.

Dalam pada itu, beliau berkata orang ramai dinasihatkan supaya tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh mengganggu siasatan serta menghormati privasi semua pihak yang terlibat. – Info X