SIPITANG: Sebuah lagi kawasan perindustrian berasaskan minyak dan gas bakal dibuka bagi menarik minat pelabur datang ke negeri ini.
Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor, berkata cadangan kawasan baharu itu dibangkitkan selepas Taman Perindustrian Minyak dan Gas Sipitang (SOGIP), di sini sudah habis ditempah pelabur.
Beliau berkata, pengendali taman industri itu memohon kepada kerajaan negeri bagi mendapatkan kawasan tanah baharu untuk mengembangkan lagi industri berasaskan minyak dan gas di sini.
Katanya, jika tiada lagi tapak yang sesuai di daerah ini, kerajaan negeri mencadangkan agar taman baharu untuk industri minyak dan gas dibuka di Beaufort.
“Di Sipitang, SOGIP sudah penuh dan ia memohon untuk tambah lagi kawasan tanah.
“Kalau tiada tanah di sini, kita buka satu taman baharu dekat Beaufort dan ini sudah dibincang dalam Kabinet negeri kerana tiada sudah tempat untuk pelabur.
“SOGIP penuh ketika kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) – Pakatan Harapan (PH), maknanya Sipitang mempunyai masa depan cerah sebab kawasan ini nanti akan terbangun banyak aktiviti ekonomi.
“Dari situ aliran kewangan hasil aktiviti ekonomi akan mengalir kepada rakyat, peniaga restoran, gerai dan lain-lain lagi, ramai yang akan mendapat manfaatnya nanti,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Berbuka Puasa Bersama Ketua Menteri di Masjid Imam Haji Awang Hashim, di sini, pada Khamis.
Hadir sama Ahli Parlimen Sipitang, Datuk Matbali Musah; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sindumin, Datuk Dr Yusof Yacob dan Pembantu Menteri Kepada Ketua Menteri Sabah yang juga ADUN Lumadan, Datuk Ruslan Muharam.
Hajiji berkata kedudukan Sipitang, yang bersempadan dengan Sarawak, selain dekat dengan Brunei dan Kalimantan memberi kelebihan kepada daerah ini.
Kedudukan strategik itu, katanya antara yang mendorong pelabur datang ke daerah ini untuk melabur dalam industri minyak dan gas, khususnya di SOGIP. – Info X