Search

Beg berisi tembaga belum sempat dijual, pencuri kabel dicekup

June 3, 2026

Info X Reporters

KOTA MARUDU: Kegiatan seorang lelaki yang dipercayai aktif mencuri kabel milik Sabah Electricity di Pitas akhirnya terbongkar apabila dia diberkas bersama tembaga hasil kupasan kabel yang dicuri, awal pagi tadi.

Dalam serbuan kira-kira jam 12.30 tengah malam di Kampung Salimpodon Laut, Pitas, polis turut merampas satu beg berisi tembaga yang dipercayai diperoleh daripada kabel yang dicuri.

Ketua Polis Daerah Kota Marudu, Superintendan Simiun Lomudin berkata, tangkapan dilakukan sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Marudu hasil maklumat orang awam.

Menurutnya, suspek lelaki tempatan berusia 30 tahun yang berasal dari Kampung Maringgan, Pitas, dipercayai aktif menjalankan kegiatan mencuri kabel milik Sabah Electricity di kawasan Telaga, Pitas.

“Hasil pemeriksaan turut menemukan satu beg berisi tembaga 12 kilogram yang dipercayai hasil kupasan kabel yang dicuri dan dipercayai belum sempat dijual.

“Suspek kemudian dibawa ke balai polis untuk tindakan lanjut,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Beliau berkata, ujian saringan air kencing yang dijalankan terhadap suspek mendapati lelaki itu positif dadah jenis syabu.

“Kes kini disiasat mengikut Seksyen 431A Kanun Keseksaan kerana melakukan khianat terhadap harta awam.

“Suspek juga akan direman mengikut Seksyen 117 Kanun Tatacara Jenayah bagi membantu siasatan lanjut,” katanya.

Simiun berkata, pihaknya merakamkan penghargaan kepada orang awam yang menyalurkan maklumat sehingga membawa kepada kejayaan tangkapan berkenaan.

“Kerjasama masyarakat amat penting dalam usaha membanteras jenayah dan orang ramai digalakkan terus menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti jenayah kepada pihak polis,” katanya. – Info X